10,000 Pelarian Rohingya Di Malaysia Bakal Ditempatkan Di Turki

Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turki menerusi satu program latihan kemahiran berstruktur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan susulan lawatan kerja beliau ke negara berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan itu dibawa dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) bagi mencari penyelesaian lebih tersusun terhadap isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia.

“Persetujuan Kerajaan Turki untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara.

“Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan, dengan bidang kemahiran yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Turki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Latihan Kemahiran Sebelum Penempatan

Ahmad Zahid berkata, pelarian yang terlibat akan diberikan latihan kemahiran praktikal serta kompetensi pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan industri di Turki.

Usaha itu dijangka meningkatkan kebolehpasaran mereka dan membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negara berkenaan, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut selari dengan pendekatan penyelesaian jangka panjang yang digariskan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya menerusi penempatan semula di negara ketiga.

Pendekatan itu mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah serta masa depan golongan pelarian.

Kerajaan Tekankan Aspek Kemanusiaan

Menurut Ahmad Zahid, isu pelarian tidak seharusnya ditangani hanya melalui penguatkuasaan dan penghantaran keluar, sebaliknya perlu mengambil kira aspek kemanusiaan.

“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan negara ketiga seperti Turki berpotensi menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah.

Pelaksanaan Akan Diselaraskan Dengan Turki dan UNHCR

Dalam perkembangan sama, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif berkenaan bersama pihak berkuasa Turki, UNHCR serta agensi berkaitan.

Penyelarasan itu meliputi proses pemilihan peserta, latihan kemahiran, dokumentasi dan penempatan supaya semuanya dilaksanakan secara teratur.

Kerajaan turut mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa berkaitan.

Ahmad Zahid berkata, usaha itu turut mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara.

Sumber: Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!