Hasrat seorang remaja untuk mandi dan mencari lala bersama lima rakannya berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas di Kampung Pulau Belacan, Kota Bharu, malam Khamis.
Mayat Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 8.12 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan lebih dua jam.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di dasar sungai pada kedalaman 4.57 meter selepas anggota penyelamat melakukan tiga kali selaman di lokasi kejadian.
Jasadnya kemudian dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi tindakan lanjut.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa dipercayai dihanyutkan arus sebelum tenggelam ketika mandi di bahagian tengah sungai bersama lima rakannya yang turut keluar mencari lala.
Rakan-rakannya yang menyedari kejadian itu cuba membantu, namun gagal menyelamatkannya.
Ibu Terima Berita Anak Lemas
Ibu mangsa, Nik Nur Atikah Abdullah, 32, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah kira-kira jam 5 petang bersama lima rakannya dengan menunggang motosikal.
Menurutnya, Azim tidak pernah pergi ke sungai berkenaan dan tidak tahu berenang.
“Dia tak pernah ke sungai ini dan tidak pandai berenang.
“Saya diberitahu anak saya datang mandi dan mencari lala,” katanya.
Dalam laporan Harian Metro pula, Nik Nur Atikah berkata dia sempat berselisih dengan anaknya di tengah jalan, namun tidak sempat bertegur sapa.
Katanya, dia kemudian menerima panggilan daripada suaminya yang memaklumkan Azim lemas sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebelum ini, Azim tidak pernah ke sana (sungai) dan dia juga tidak tahu berenang malah difahamkan selain untuk mandi, anak saya dan rakan-rakannya ingin mencari lala.
"Saya dihubungi suami yang memberitahu anak kami lemas dan segera ke lokasi sambil berdoa Azim ditemukan dengan selamat tapi Allah lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II.
Rakan Sempat Pegang Badan Mangsa
Menurut Nik Nur Atikah, berdasarkan cerita seorang rakan, Azim dikatakan pergi mandi di bahagian tengah sungai walaupun sudah dilarang oleh rakan-rakannya.
Mangsa kemudian dilihat tenggelam timbul sebelum rakannya cuba memegang badan, namun terlepas kerana keadaan badan yang licin.
"Boleh dikatakan setiap hari saya berpesan kepadanya jangan keluar merayau selepas pulang dari sekolah tapi tak sangka hari ini dia keluar dan tak akan pulang buat selama-lamanya," katanya.
Nik Nur Atikah berkata, tiada perubahan dikesan pada anaknya itu sebelum kejadian.
Azim yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin juga tidak sempat bersalaman dengannya sebelum keluar ke sekolah pada pagi kejadian.
Operasi Berdepan Keadaan Gelap
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Shamsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.41 petang.
Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.50 petang, kira-kira tiga kilometer dari balai.
"Kami tiba di lokasi kejadian pada jam 5.50 petang, kira-kira tiga kilometer dari balai.
"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan walau berdepan cabaran keadaan cuaca gelap," katanya.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemumin selepas proses bedah siasat selesai.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
