Hutang Kerajaan Persekutuan Kini Cecah RM1.763 Trilion

Jumlah hutang dan liabiliti terkumpul Kerajaan Persekutuan kini mencecah RM1.763 trilion, bersamaan 80.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir Jun lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, jumlah itu turut merangkumi komitmen jaminan sebanyak RM248.3 bilion, meningkat berbanding RM245.8 bilion pada 2025 bagi pembiayaan projek infrastruktur.

Bagaimanapun, obligasi kewangan di bawah kerjasama awam swasta dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) menunjukkan penurunan kepada RM136.2 bilion berbanding RM143.7 bilion pada tahun lalu.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, MOF berkata kerajaan kekal komited melaksanakan pembaharuan fiskal bagi memastikan pengurusan hutang yang berhemah dan menyediakan ruang fiskal mampan.

Sasaran defisit bawah tiga peratus

Di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana.

Kerajaan turut menyasarkan paras hutang tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama.

Menurut MOF, sejak akta itu dikuatkuasakan, usaha konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat sehingga berjaya mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.7 peratus pada tahun lalu, lebih baik berbanding sasaran asal 3.8 peratus.

Bagi tahun ini, defisit diunjurkan pada 3.6 peratus berbanding sasaran asal 3.5 peratus, mengambil kira kesan krisis di Asia Barat serta keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Defisit seterusnya dijangka berkurang kepada 3.3 peratus pada tahun depan.

Nisbah hutang disasar turun menjelang 2030

Dari segi nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK, MOF mengunjurkan penurunan daripada 65.2 peratus pada tahun lalu kepada 64 peratus tahun ini dan 63.7 peratus pada tahun depan.

Selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan menyasarkan nisbah hutang itu dikurangkan kepada 60 peratus menjelang 2030.

Antara langkah yang akan dipergiat bagi mencapai sasaran berkenaan termasuk:

  • Memperkukuh kutipan dan pematuhan cukai.
  • Memperluas asas hasil negara.
  • Mengurangkan ketirisan.
  • Mengoptimumkan perbelanjaan awam.

MOF berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan pembiayaan projek pembangunan jangka panjang dan strategik negara.

Penjelasan itu diberikan bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta maklumat terkini mengenai jumlah hutang negara dan keseluruhan liabiliti kerajaan, selain keberkesanan pelaksanaan FRA 2023 dalam mengurangkan defisit fiskal serta unjuran bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Sumber: Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!