Anggota Polis Asal Tumpat Maut Van Bawa 11 Anggota Terbabas Di PLUS

Seorang anggota polis yang maut selepas van dinaikinya terbabas di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Selasa meninggalkan seorang isteri dan bayi lelaki yang baru berusia enam bulan.

Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, yang berasal dari Kampung Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan, disifatkan isterinya sebagai seorang suami yang bertanggungjawab serta ayah penyayang.

Balu Allahyarham, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, berkata suaminya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sepanjang hampir dua tahun mereka mendirikan rumah tangga.

3713704


“Dia sangat baik dan tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah, suami serta anak.

“Arwah juga sentiasa memastikan saya mendapat rehat yang cukup. Dia tidak pernah sekali pun mengabaikan tanggungjawabnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Surau Al-Ehsaniah, Kompleks Perumahan PDRM Tapah.

Menurut Nor Ilyanie, Allahyarham bukan sahaja mengambil berat tentang dirinya, malah seorang anak yang amat bertanggungjawab sehingga sanggup menghentikan pengajian bagi menjaga ibunya yang kurang sihat.

Lebih memilukan, pasangan yang berasal dari Tumpat itu sudah saling mengenali sejak di bangku sekolah rendah sebelum mendirikan rumah tangga pada 12 April 2024.

Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Akif Irsyad Muhammad Shahrul Alif yang kini berusia enam bulan.

Sempat Bersalaman Dan Bermaafan Sebelum Keluar Bekerja

Mengimbau detik terakhir bersama suaminya, Nor Ilyanie berkata mereka sempat bersalaman dan bermaafan seperti rutin harian sebelum masing-masing keluar bekerja pada pagi Selasa.

Katanya, Allahyarham memaklumkan bahawa dia perlu ke Melaka bagi urusan mengambil kenderaan polis.

Bagaimanapun, berita mengenai kematian suaminya hanya diterima kira-kira jam 9 malam selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan anggota polis.

Van Polis Terbabas Selepas Tayar Pecah

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, van polis jenis Maxus yang membawa 11 anggota termasuk pemandu sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba.

3713422


Keadaan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum van terbabit merempuh penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.

"Akibat kemalangan itu, beberapa penumpang tercampak keluar daripada kenderaan. Seorang penumpang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

3713488


Enam lagi anggota mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah merupakan antara anggota yang berada dalam van berkenaan ketika perjalanan ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan polis yang dipinjamkan untuk kegunaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baru selesai.

Jenazah Disolatkan Di Tapah Sebelum Dibawa Pulang Ke Tumpat

Jenazah Allahyarham selamat disolatkan di Surau Al-Ehsaniah, Kompleks Perumahan PDRM Tapah sebelum dibawa pulang ke Kampung Sri Tujuh, Tumpat untuk dikebumikan.

Jenazah tiba di surau berkenaan pada jam 5.53 petang dan solat jenazah diimamkan Ketua Cawangan Agama IPK Perak, Ahmad Fathullah Rosli.

Kira-kira 200 orang termasuk rakan setugas, kepimpinan PDRM dan ahli keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin turut hadir.


Dalam perkembangan sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, menziarahi waris dan keluarga Allahyarham bagi menyampaikan sumbangan serta bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Kamil berkata, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah dan berharap Nor Ilyanie tabah menghadapi ujian, terutama dalam membesarkan anak mereka yang masih kecil.

"Beliau (Anwar) juga menyampaikan iringan doa dan berharap keluarga Allahyarham dapat menghadapi ujian ini dengan sabar dan tabah.

"Sekiranya terdapat sebarang keperluan dari semasa ke semasa, Pejabat Perdana Menteri dan PDRM Perak akan sentiasa membantu keluarga," katanya.

Muhammad Kamil turut dijadualkan melawat Hospital Slim River bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga anggota polis yang cedera dalam kejadian itu.

Sumber: Sinar Harian, Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!