11 Maut, 38 Cedera Dalam Kebakaran Bangunan Empat Tingkat Di Phuket

Seramai 11 orang maut manakala 38 lagi cedera dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah bangunan komersial empat tingkat di Patong, Phuket, Thailand, awal pagi Isnin.

Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 3.20 pagi di sebuah premis menjual dan menyewakan motosikal di Jalan Phang Muang Sai Kor.

Ketua Polis Wilayah Phuket, Mejar Jeneral Polis Surachai Suksai berkata, pihak polis bersama doktor forensik dan anggota penyelamat sedang menjalankan operasi mengeluarkan mayat serta mengenal pasti identiti mangsa yang terkorban.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap selepas tidak sedarkan diri, bukannya disebabkan kecederaan melecur.

Mangsa yang cedera pula dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Vachira Phuket untuk bedah siasat dan proses pengecaman," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Surachai berkata, sebanyak lima jentera bomba dikerahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran yang mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 minit untuk dikawal.

Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap risiko kebakaran, khususnya ketika musim kemarau.

Orang ramai turut diingatkan supaya memastikan pendawaian elektrik serta peralatan di dalam bangunan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!