Tiga pelancong Malaysia dikenakan denda keseluruhan sebanyak 12,000 Baht (kira-kira RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati melakukan aksi pemanduan yang mengganggu lalu lintas di Hat Yai, awal pagi Ahad.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 hingga 30 tahun itu turut didapati melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang negara berkenaan.
Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran berkata, mereka bersama seorang warga Thailand diarahkan hadir ke balai polis selepas pihaknya menerima aduan orang ramai.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu melibatkan tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah dan putih serta sebuah kereta hitam milik warga Thailand.
Keempat-empat kenderaan itu bergerak dalam satu barisan di Jalan Phetkasem, Hat Yai.
“Pemandu kereta hitam yang berada di hadapan dipercayai merakam video untuk kandungan media sosial, manakala kumpulan kenderaan itu beberapa kali melakukan pusingan U dengan bunyi ekzos yang kuat serta menghalang lalu lintas,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Aksi berkenaan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan sebelum rakaman kejadian tersebar di media sosial.
“Kumpulan pelancong berkenaan dipercayai sedang merakam kandungan media sosial ketika melakukan aksi itu dan mungkin tidak mengetahui peraturan jalan raya di Thailand,” katanya.
Prut berkata, kesemua mereka mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak 4,000 Baht (kira-kira RM482) seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.
Beliau turut menasihatkan pelancong asing supaya memahami, menghormati dan mematuhi undang-undang Thailand sepanjang berada di negara itu bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Sumber: Bernama
