Anggota bomba di Kelantan berkemungkinan perlu bertugas sehingga 48 jam sekiranya negeri ini dilanda banjir besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Langkah itu sedang dipertimbangkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bagi meningkatkan kekuatan anggota ketika operasi menyelamat, terutama jika berdepan situasi bencana berskala besar.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya turut mempertimbangkan perubahan sistem syif sedia ada daripada 12 jam kepada 24 jam atau 48 jam bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa.
Menurutnya, ketika ini anggota bomba bertugas mengikut sistem syif 12 jam yang dibahagikan kepada tiga pasukan bagi memastikan operasi di setiap balai berjalan secara berterusan.
“Untuk meningkatkan lagi keanggotaan sekiranya berlaku kejadian banjir besar, kita akan kawal cuti dan menukar daripada syif 12 jam kepada 24 jam bagi meningkatkan jumlah anggota bertugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, pembekuan cuti anggota juga boleh dilaksanakan berdasarkan keadaan bencana bagi memastikan tenaga kerja mencukupi, khususnya ketika operasi menyelamat memerlukan lebih ramai anggota.
Bagaimanapun, katanya, pertambahan anggota sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan aset yang bersesuaian.
Keupayaan aset seperti bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda turut menjadi faktor penting dalam memastikan kelancaran serta keberkesanan operasi menyelamat.
Dalam perkembangan sama, JBPM Kelantan turut mengenal pasti lebih awal golongan rentan di kawasan berisiko banjir bagi memudahkan perancangan operasi dan urusan pemindahan sekiranya berlaku bencana.
Golongan berkenaan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit terlantar yang memerlukan perhatian khusus.
Farhan Sufyan berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dengan penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan.
“Memang kita sudah kenal pasti kawasan ini ada berapa orang OKU, berapa orang warga emas yang memerlukan perhatian dan perkara itu telah diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Bencana Negeri,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Sabah dan seluruh Terengganu hingga 11 November.
Di Kelantan, kawasan terlibat ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Jeli.
Susulan amaran berkenaan, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran turut memaklumkan sembilan jajahan di Kelantan berkemungkinan dilanda banjir dalam tempoh sama.
Sumber: Bernama
