“Saya Anggap Makcik Macam Ibu” – Pujukan Bomba Selamatkan Wanita di Kota Bharu

Pendekatan penuh empati seorang anggota bomba berjaya memujuk wanita warga Indonesia yang dipercayai mengalami kemurungan ketika berada berhampiran tangki air di sebuah rumah perlindungan di Kota Bharu pada Isnin.

Menurut laporan Sinar Harian, Pegawai Bomba Kanan I Che Mazlan Che Mohamad mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk wanita berusia 52 tahun itu sebelum dia akhirnya bersetuju untuk turun dan diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Saya tak ada ibu... saya anggap makcik macam ibu saya,” katanya ketika cuba menenangkan wanita berkenaan.

Che Mazlan yang juga Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu berkata, wanita itu sukar dipujuk kerana berada dalam keadaan tertekan.

Keadaan tersebut menyebabkan beliau menggunakan pendekatan psikologi dengan berbicara secara perlahan serta cuba menyentuh emosi wanita berkenaan.

“Saya tanya dia ada berapa orang anak. Dia maklum ada lima anak.

“Saya bagitahu...saya tiada ibu. Saya anggap dia macam ibu saya sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menunggu dihantar pulang

Menurut Che Mazlan, wanita terbabit difahamkan ditempatkan sementara di rumah perlindungan itu sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asalnya.

Pendekatan secara kekeluargaan yang digunakannya akhirnya membuahkan hasil apabila wanita itu bersetuju untuk turun sebelum diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Che Mazlan berkata, mengendalikan keadaan seperti itu bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal, malah anggota penyelamat juga perlu berusaha memahami emosi individu yang sedang berdepan tekanan.

“Bagi saya, dalam situasi seperti ini, bukan semata-mata soal kekuatan fizikal, tetapi kita perlu cuba memahami perasaan mangsa dan bercakap dengan cara yang boleh membuatkan dia rasa masih ada orang mengambil berat tentang dirinya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, BBP Kota Bharu menerima panggilan kecemasan sebelum sembilan anggota dihantar ke lokasi.

Operasi menyelamat kemudian tamat pada jam 4.55 petang.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!