Kelantan Catat 2,190 Panggilan Kebakaran Sehingga Jun, Kedua Tertinggi Di Malaysia

Kelantan merekodkan sebanyak 2,190 panggilan berkaitan kebakaran sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia selepas Kedah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, majoriti panggilan yang diterima membabitkan kes pembakaran terbuka.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara berbanding tempoh sama tahun lalu apabila JBPM Kelantan hanya menerima 242 panggilan.

"Tahun lalu kami hanya menerima sebanyak 242 panggilan kebakaran dalam tempoh yang sama namun tahun ini ia melonjak dengan drastik dan paling banyak pada Mac serta April lalu.

"Kebanyakan pembakaran terbuka adalah akibat sengaja dibakar untuk tujuan pertanian dan pembersihan, jadi kalau boleh, elakkan tapi jika tetap nak buat pembakaran, tolong kawal," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan 'Fire Point' Bomba Komuniti di Kampung Teluk Renjuna, Tumpat.

Dalam perkembangan lain, Farhan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fenomena Super El Nino akan mula berlaku pada November ini sebelum berterusan sehingga Januari 2027.

Sehubungan itu, JBPM Kelantan telah mengambil langkah awal dengan menempatkan 32 jentera dan 40 pam di balai-balai bomba bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Dalam tempoh El Nino, jangkaan isipadu hujan adalah rendah dibandingkan dengan tempoh masa tahunan dan kami membuat tindakan awal dengan menempatkan 32 jentera dan 40 pam di balai bomba.

"Jika berlaku pembakaran terbuka, kita akan ambil tindakan segera dan mengharapkan juga kerjasama dari pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Alam Sekitar untuk pantau kegiatan orang ramai sebagai langkah pencegahan," katanya.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!