Presiden Israel, Isaac Herzog, memberi mandat kepada pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot, untuk membentuk kerajaan baharu selepas keputusan pilihan raya pada 27 Oktober lalu menyaksikan tiada mana-mana blok memperoleh majoriti.
Keputusan itu membuka ruang kepada usaha menamatkan pentadbiran Benjamin Netanyahu yang telah mengetuai kerajaan Israel selama hampir dua dekad secara tidak berterusan.
Eisenkot, bekas ketua tentera yang kini menerajui blok pembangkang, mempunyai peluang untuk membentuk gabungan kerajaan dengan mendapatkan sokongan parti-parti yang sebelum ini berada di luar kerjasama politik mereka.
Antara perkembangan yang mencuri perhatian ialah kesediaan blok pembangkang membuka ruang kerjasama dengan parti Yahudi ultra-Ortodoks, selain menerima sokongan wakil masyarakat Arab-Israel.
Gabungan berkenaan dilihat mempunyai asas sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan campuran.
Menurut pejabat Herzog, keputusan memberikan mandat kepada Eisenkot dibuat selepas Presiden Israel itu mengadakan rundingan dengan semua parti politik yang terlibat dalam pilihan raya.
Majlis pelantikan rasmi dijadualkan berlangsung di kediaman Presiden di Baitulmaqdis.
Dapat sokongan 67 Ahli Parlimen
Eisenkot dilaporkan mendapat sokongan parti-parti yang mewakili 67 Ahli Parlimen, berbanding 46 Ahli Parlimen yang menyokong blok Netanyahu.
Sokongan itu turut merangkumi wakil masyarakat minoriti Arab-Israel yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah kerusi dimenangi dalam pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, kerjasama dengan parti Arab-Israel turut menjadi isu pertikaian apabila sebahagian pembangkang berhaluan kanan menentang kebergantungan kepada sokongan kumpulan berkenaan.
Netanyahu sebelum ini mengkritik pemimpin pembangkang yang mempertimbangkan kerjasama dengan parti Arab-Israel, iaitu masyarakat berketurunan Palestin yang menetap di Israel selepas 1948.
Beliau mendakwa pakatan dengan parti Arab yang dilabelnya sebagai 'Islamist' boleh memusnahkan Israel dari dalam.
Sebaliknya, Netanyahu menggesa supaya kerajaan perpaduan dibentuk dengan penyertaan semua parti Zionis.
Netanyahu berdepan beberapa tekanan
Selain risiko kehilangan jawatan Perdana Menteri, Netanyahu turut berdepan pertuduhan rasuah yang boleh membawa kepada hukuman penjara sekiranya disabitkan kesalahan.
Beliau juga berdepan waran tangkap berkaitan perang di Gaza yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), namun menolak bidang kuasa mahkamah berkenaan.
Netanyahu sebelum ini mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional, tetapi pihak pembangkang bertegas mahu beliau disingkirkan terlebih dahulu.
Presiden Herzog yang mempunyai hubungan kerja dengan Netanyahu pula dilaporkan mahu meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan bagi menyatukan masyarakat Yahudi Israel daripada pelbagai aliran politik.
Eisenkot hanya ada 28 hari
Selepas menerima mandat berkenaan, Eisenkot mempunyai tempoh 28 hari untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 61 undi Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.
Sekiranya gagal, Herzog boleh memberikan tambahan tempoh selama 14 hari sebelum mempertimbangkan calon lain untuk membentuk kerajaan.
Jika usaha itu masih tidak berhasil, Israel mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya baharu.
Situasi kebuntuan politik bukan perkara asing di negara itu apabila Israel pernah mengadakan lima pilihan raya antara 2019 hingga 2022 berikutan kegagalan parti-parti politik membentuk kerajaan yang stabil.
Sumber: Berita Harian
