Gunung Reng Jeli Siap Dinaik Taraf, Lebih Menarik Dengan Landskap Baharu

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah Gunung Reng di Jeli kini tampil dengan wajah lebih menarik selepas kerja-kerja menaik taraf landskap di kawasan berkenaan selesai dilaksanakan.

Perkembangan itu dikongsikan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan dengan peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara (JLN) untuk Majlis Daerah Jeli (MDJ).

Gunung Reng merupakan antara produk pelancongan menarik di daerah Jeli yang menggabungkan keindahan alam semula jadi, formasi batu kapur, sejarah legenda Melayu serta kemudahan rekreasi untuk pengunjung.

Terletak di Kampung Gunong, kawasan Batu Melintang, lokasi itu kira-kira 15 kilometer dari Pekan Jeli.

Keistimewaan kawasan berkenaan ialah latar belakang bukit batu kapur Gunung Reng yang tersergam megah, selain kedudukannya berhampiran Sungai Pergau dan laluan strategik Jalan Raya Timur-Barat.

Pelbagai Kemudahan Dinaik Taraf

Menurut Hilmi, kerja naik taraf itu melibatkan beberapa komponen sedia ada termasuk kekotak penanaman, tugu bernama, bollard OKU, wakaf, laluan pejalan kaki dan bangku taman.

Selain itu, beberapa kemudahan landskap kejur baharu turut disediakan seperti pagar dekorasi berkonsepkan kayu, laluan pejalan kaki jenis broom finish, slab berbentuk tidak sekata serta peralatan permainan kanak-kanak bersepadu.

Kemudahan lain termasuk peralatan latih tubi OKU dan lampu pintar solar.

Bagi komponen landskap lembut pula, beberapa jenis pokok teduhan ditanam antaranya Damar Minyak, Semambu, Eucalyptus, Ficus, Salam dan Bungor.

Kawasan itu turut dihiasi pelbagai pokok renek seperti Kesinai Merah, Pandan Merah, Kemuning, Melur serta beberapa jenis tanaman lain.

Pernah Diiktiraf Taman Rekreasi Terbersih

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah Gunung Reng sebelum ini pernah menerima pengiktirafan Johan Taman Rekreasi Terbersih Tahun 2021 sempena sambutan Hari Kelantanku Bersih anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Penambahbaikan landskap, mercu tanda dan kemudahan pengunjung diharap dapat menjadikan kawasan itu lebih menarik sebagai destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi pada waktu siang mahupun malam.

Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Landskap Negara atas peruntukan yang disalurkan serta mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Jeli atas usaha menyiapkan projek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengunjung supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan menghargai keindahan kawasan rekreasi itu.

"PAKAT JAGA KEBERSIHAN DAN HARGAI KEINDAHANNYA," katanya.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!