Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta bagi memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan, termasuk kerja-kerja awalan cadangan sambungan laluan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu.
Selebihnya, iaitu lebih RM200 juta, disediakan untuk melaksanakan kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Lebih RM200 Juta Untuk Kerja Awalan Sambungan ECRL
Menurut MoF, fasa awal pemanjangan jajaran itu merangkumi beberapa kerja persediaan sebelum projek boleh dilaksanakan pada peringkat seterusnya.
Antaranya ialah reka bentuk awal, kerja ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak.
“Pelaburan ini bukan sekadar membina infrastruktur pengangkutan, tetapi membuka laluan kepada masa depan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing.
“Ia termasuk merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa pembangunan negara perlu dilaksanakan secara terangkum dan seimbang supaya manfaat kemajuan dapat dirasai rakyat di seluruh negara, termasuk Kelantan.
RM30 Juta Untuk Terminal Bas Baharu Di Tunjong
Selain sambungan ECRL ke Rantau Panjang, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi pembinaan terminal bas bersepadu di Stesen ECRL Kota Bharu.
Terminal itu dirancang untuk menghubungkan perkhidmatan kereta api dengan pengangkutan awam lain seperti bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan perkhidmatan e-panggilan.
Kemudahan berkenaan bertujuan memudahkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing selepas tiba di stesen ECRL.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 2.02 hektar di Tunjong bagi pembangunan terminal tersebut, yang terletak bersebelahan Stesen ECRL Kota Bharu.
ECRL Kota Bharu-Gombak Mula Operasi Disember Ini
Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan ECRL yang menghubungkan Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu melibatkan 20 stesen merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak pula dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam.
Sumber: Utusan, Sinar Harian
