Sebanyak 200 anggota polis bantuan akan ditugaskan di beberapa lokasi titik panas Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mulai November ini bagi menangani isu kecurian kabel.
Langkah berkenaan merupakan antara usaha tambahan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk memastikan keselamatan aset serta kelancaran operasi ECRL yang disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya turut memasang alat pengesan, sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV), selain menggunakan khidmat pengawal keselamatan.
Menurutnya, kerjasama dengan pihak berkuasa turut dilakukan bagi menangani kegiatan berkenaan.
“Sepanjang pembinaan ECRL, kita mengalami kerugian kira-kira RM4 juta akibat kecurian kabel termasuk tiga kes pada bulan lepas,” katanya ketika Taklimat ECRL kepada Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama-sama media.
Sasaran operasi pertengahan Disember
Darwis berkata, MRL yakin sasaran pengoperasian ECRL pada pertengahan Disember 2026 adalah realistik berdasarkan keputusan positif ujian System Integration Testing (SIT) bagi rangkaian rel berkenaan.
Katanya, kemajuan dalam fasa pengujian dan pentauliahan turut membolehkan Fault-Free Run (FFR) dimulakan lebih awal daripada jadual asal.
FFR membabitkan unit elektrik berganda (EMU) untuk perkhidmatan penumpang serta Electric Locomotive (E-Loco) bagi perkhidmatan kargo.
“...Fault-Free Run (FFR) yang melibatkan unit elektrik berganda (EMU) bagi perkhidmatan penumpang serta Electric Locomotive (E-Loco) bagi perkhidmatan kargo dimulakan pada Oktober, lebih awal daripada jadual asal November 2026 tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kualiti,” katanya.
ECRL Kota Bharu-Rantau Panjang
Dalam perkembangan sama, Darwis menyambut baik persetujuan Malaysia dan China terhadap cadangan menyambung jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang sejauh kira-kira 30 kilometer.
Menurutnya, sambungan itu dijangka turut menggunakan semula laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepanjang kira-kira 18 kilometer dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang tidak lagi beroperasi sejak 2005.
“Projek ini akan membantu melancarkan pergerakan kargo dari selatan Thailand ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk kita meneroka potensi penyambungan jajaran tersebut,” katanya.
Pelanjutan berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan kerja ke China baru-baru ini.
Sambungan itu berpotensi menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan rel Thailand di pantai timur, sekali gus membuka ruang kepada hubungan lebih besar dalam rangkaian rel Pan-Asia.
Permintaan kargo E-Loco menggalakkan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn Bhd, Zaidi Sharif berkata, perkhidmatan kargo menggunakan E-Loco menerima permintaan menggalakkan daripada syarikat-syarikat yang mahu mengurangkan kos pengangkutan selain meminimumkan jejak karbon.
“Pengoperasian E-loco tidak mempunyai jadual perjalanan sebaliknya berdasarkan permintaan syarikat yang memerlukan perkhidmatan kargo yang akan beroperasi pada waktu malam,” katanya.
Sumber: Bernama
