Seorang bapa kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah mencuri barangan pasar raya bernilai RM394 di Pasir Tumboh.
Tertuduh, Wan Eskandar Wan Julihi, 43, didapati mencuri beberapa barangan termasuk 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin dari pasar raya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 1 November, Majistret R Vinoshen menjelaskan bahawa kesempitan hidup dan tanggungjawab menyara keluarga bukan alasan yang secara automatik membolehkan seseorang menerima hukuman lebih ringan.
Peribahasa Tamil Jadi Peringatan
Ketika menjelaskan pendiriannya, Vinoshen turut memetik peribahasa daripada Tirukkural, karya sastera Tamil purba yang ditulis ahli falsafah Tiruvalluvar.
Peribahasa itu membawa maksud seseorang tidak sepatutnya melakukan perbuatan salah atau tidak bermoral walaupun ibunya sendiri sedang kelaparan.
"Walaupun melihat ibu sendiri kelaparan, seseorang tidak sepatutnya melakukan perbuatan tidak bermoral atau memalukan sehingga mengundang kecaman golongan bijaksana," katanya.
Menurut beliau, mahkamah mengambil kira keadaan peribadi tertuduh, namun kepentingan awam dan keperluan memberikan pengajaran supaya kesalahan sama tidak berulang juga perlu dipertimbangkan.
Ada Lima Anak, Menghidap Penyakit Jantung
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya tidak bekerja dan baru dibebaskan dari penjara.
Katanya, Wan Eskandar mempunyai lima orang anak untuk ditanggung selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan.
Tertuduh juga dilaporkan menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan psoriasis.
Peguam turut memaklumkan bahawa anak guamnya menyesali perbuatan tersebut serta memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan.
Bagaimanapun, Vinoshen berkata, Wan Eskandar bukan pesalah kali pertama kerana pernah disabitkan kesalahan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
"Mahkamah memandang serius perkara ini kerana tertuduh melakukan kesalahan mencuri walaupun pernah menjalani hukuman penjara sebelum ini.
"Dalam keadaan sedemikian, adalah wajar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatannya," katanya.
Curi Sebuku Roti Pun Boleh Dipenjara
Majistret itu turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mencuri, walaupun melibatkan barangan bernilai kecil, tetap menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
"Orang ramai perlu ingat bahawa walaupun seseorang hanya mencuri sebuku roti dari kedai, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan yang boleh dihukum penjara mengikut Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pengakuan bersalah sememangnya boleh menjadi faktor meringankan hukuman kerana menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Namun, pengakuan itu tidak bermakna seseorang tertuduh secara automatik berhak mendapat pengurangan hukuman.
Menurutnya, keputusan mahkamah terdahulu bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan menunjukkan hukuman penjara lazimnya antara satu hingga tiga tahun.
"Bagaimanapun, dalam kes ini, selepas mengambil kira faktor mitigasi tertuduh dan fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hanya enam bulan, iaitu lebih ringan berbanding trend hukuman sedia ada bagi kesalahan seumpama itu.
"Hukuman yang dijatuhkan juga setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli.
Sumber: Harian Metro
