Anak Jati Kampung Talak, Tumpat Dinobatkan Tokoh Kraf Negara 2026

Seni batik mungkin kelihatan mudah pada pandangan mata, namun di sebalik setiap corak yang terhasil terdapat proses panjang yang memerlukan kemahiran, kesabaran dan ketelitian.

Kesilapan kecil ketika mencanting atau mewarna juga boleh memberi kesan kepada keseluruhan hasil akhir, menjadikan penghasilan batik bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

Bagi Tokoh Kraf Negara 2026, Ibrahim Deraman, 69, cabaran itulah antara perkara yang menyebabkan bidang pembuatan batik kurang mendapat perhatian generasi muda.

“Batik ini sebenarnya payah dibuat tapi kalau orang tengok nampak mudah. Itu yang menyebabkan orang tidak berminat untuk menceburi bidang membuat batik ini,” katanya.

Ibrahim berkata demikian selepas dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2026 pada Majlis Perasmian Pesta Kraf Antarabangsa Malaysia (MICF) 2026, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali.

Mahir Pelbagai Teknik Batik

Anak kelahiran Kampung Talak, Tumpat itu mempunyai kepakaran menghasilkan seni kraf batik menggunakan pelbagai teknik termasuk batik blok berlapis, batik retak seribu dan batik ‘discharge’.

Antara hasil karyanya yang mendapat perhatian ialah rekaan batik bertemakan ‘Gabungan Dua Zaman’.

Karya tersebut bukan sahaja menarik minat peminat kraf tempatan, malah turut mendapat perhatian pelancong antarabangsa termasuk dari Perancis.

Lebih membanggakan, hasil batik Ibrahim turut digunakan oleh delegasi Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Tiga Anak Jadi Pelapis

Ibrahim memaklumkan tiga daripada lapan anaknya kini menjadi pelapis kepada perusahaan batik yang diusahakannya.

Menurutnya, kelangsungan seni batik tidak boleh bergantung kepada nama atau sekadar mewarisi usaha generasi terdahulu.

Sebaliknya, generasi muda perlu benar-benar mempelajari dan menguasai kemahiran tersebut supaya seni tradisional berkenaan terus hidup.

Namun, katanya, asas paling penting yang perlu ada dalam diri seseorang yang mahu menceburi bidang itu ialah minat.

“Kalau minat, buat macam mana pun jadi. Kalau tak minat, buat pendedahan macam mana pun tak jadi. Mesti kena ada minat,” jelasnya.

Tidak Menyangka Terima Pengiktirafan

Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Ibrahim meluahkan rasa syukur dan gembira kerana tidak pernah menyangka akan menerima anugerah berkenaan.

“Saya hanya orang biasa dari Kampung Talak,Tumpat, Kelantan jadi bila dapat anugerah begini, memang tidak dijangka.

“Harapan saya agar seni kraf batik warisan ini akan terus berkembang maju dan kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Industri Kraf Catat Jualan RM240.3 Juta

Sementara itu, Chiew Choon Man berkata industri kraf negara mencatatkan nilai jualan RM240.3 juta bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 96 peratus atau RM230.3 juta disumbangkan oleh pasaran domestik.

Menurutnya, angka berkenaan menunjukkan pasaran domestik industri kraf negara berada pada tahap kukuh.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat ruang yang luas untuk membawa produk kraf Malaysia ke pasaran antarabangsa, antaranya menerusi MICF 2026.

“Namun, ruang untuk membawa kraf Malaysia lebih jauh ke pasaran dunia masih luas. Ia boleh dilakukan menerusi MICF 2026.

“MICF memainkan peranan yang strategik dengan menghubungkan pengusaha tempatan kepada pembeli, pasaran dan rakan industri antarabangsa,” katanya.

Choon Man berkata MICF 2026 turut membawa mesej bahawa warisan bukan sekadar perlu dipelihara, sebaliknya perlu diperkasa supaya terus berkembang, berinovasi dan berdaya saing.

”MICF 2026 membuktikan potensi kraftangan sebagai aset budaya serta industri global yang berdaya saing.

“Ia menghimpunkan 400 vendor tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara,” katanya.

Sumber: Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!