Seorang wanita di Alor Setar, Kedah mendakwa tidak pernah menyesal mengahwini lelaki etnik Rohingya.
Menurut laporan Kosmo, Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 36, menganggap kebahagiaan rumah tangga tidak pernah ditentukan oleh apa yang diperkatakan orang lain.
Walaupun sering berdepan kecaman kerana mengahwini lelaki etnik Rohingya ketika berusia 19 tahun, wanita itu tetap yakin dengan pilihannya dan bersyukur kerana dikurniakan enam orang cahaya mata.
Segala-galanya bermula ketika dia menghantar kuih ke sebuah kedai makan di Alor Setar. Di situlah dia mengenali lelaki yang kemudiannya menjadi teman hidupnya.
Persahabatan Yang Bertukar Menjadi Jodoh
Perkenalan yang pada awalnya sekadar persahabatan akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan pada tahun 2008.
“Masa itu umur kami baru 19 tahun. Daripada berkawan akhirnya kami berkahwin pada 2008 dan kini mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 16 tahun. Semua anak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan,” dakwanya.
Intan berkongsi perkara itu ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa di rumahnya.
Menurutnya, keluarganya sendiri merestui perkahwinan tersebut kerana mengenali suaminya sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.
Suaminya dibawa masuk ke Malaysia oleh ibu bapanya ketika masih bayi dan sudah lama menetap di negara ini sehingga fasih bertutur dalam loghat Kedah. Bagi menyara keluarga, suaminya bekerja mengambil upah di sebuah kedai makan selain melakukan kerja memotong rumput.
Dugaan Bermula Selepas Penahanan Suami
Namun, kehidupan keluarga itu berubah sejak Oktober tahun lalu apabila suaminya ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah.
“Suami ada kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan saya dimaklumkan dia hanya dapat dibebaskan selepas urusan melibatkan UNHCR selesai,” ujarnya.
Sejak itu, Intan terpaksa meneruskan kehidupan bersama enam anak dengan bergantung kepada hasil jualan kuih yang tidak menentu serta bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000.
Lebih menyentuh hati, anak sulung mereka kini turut memikul sebahagian tanggungjawab keluarga dengan bekerja di sebuah kedai makan selepas tamat waktu persekolahan, selain membantu menjaga adik-adiknya di rumah.
“Sedih tengok anak sulung terpaksa mengambil alih tanggungjawab ayah. Dia bekerja setiap hujung minggu sehingga lewat malam dan akan pergi bekerja pada hari biasa jika dipanggil majikan,” katanya.
Tetap Berdiri Dengan Pilihan Sendiri
Walaupun pelbagai kecaman terus diterima kerana memilih pasangan daripada etnik Rohingya, Intan tidak pernah membiarkan pandangan negatif mengubah pendiriannya.
Baginya, suaminya tetap seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab terhadap keluarga dan sentiasa berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal.
Atas sebab itu, dia menegaskan bahawa dia tidak pernah menyesali perkahwinan tersebut dan percaya segala yang berlaku adalah jodoh yang telah ditentukan buat mereka sekeluarga.
Sumber: Kosmo
