Penganggur dipenjara dua bulan curi 39 buku Perpustakaan MAIK dan swasta

KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencuri dan menyimpan harta curi membabitkan 39 buah buku milik Perpustakaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta sebuah perpustakaan swasta, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Farahimee Mohd. Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri 15 buah buku milik Perpustakaan MAIK di Pejabat Perpustakaan MAIK kira-kira jam 11.54 pagi pada 13 Oktober lalu.

Antara buku yang dicuri termasuk Fiqhud-Da’wah: Jejak Risalah Dan Dasar Da’wah M. Natsir, Mengenal Hukum Hudud, Politik dan Pentadbiran Islam, Pengantar Sejarah Patani: Negeri Sitanjung Buang, dan Beberapa Aspek Pemikiran Al-Maududi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Farahimee yang juga bapa kepada empat anak, dituduh dengan curang menyimpan 24 buah buku curi milik Perpustakaan Nur Al-Zahra, di sebuah rumah di Lorong Meranti, Jalan Pengkalan Chepa, kira-kira jam 5 petang pada 14 Oktober lalu.

Antara buku yang disimpan termasuk Sejarah Tanah Melayu, Sembahyang Tarawih Di Zaman Nabi, Teori Politik Al-Farabi, The Return Of The Khalifate, dan Serangga Dan Manusia.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.

Terdahulu, Nik Nasrun memohon tertuduh diberikan bon kelakuan baik atas faktor kesihatan, namun permohonan itu dibantah oleh pihak pendakwaan.

Majistret Rais Imran Hamid menegur tindakan tertuduh dengan menyatakan bahawa buku tersebut adalah harta awam yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Awak bukan sahaja menyusahkan orang. Apabila harta wakaf dan harta awam dicuri, manfaat ke atas orang ramai yang diniatkan oleh individu tertentu tidak dapat disampaikan,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi kedua-dua pertuduhan, yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 14 Oktober lalu.

Sebelum ini, kegiatan lelaki itu terbongkar selepas video CCTV menunjukkan suspek memasukkan buku ke dalam bajunya sebelum keluar dari perpustakaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, berkata suspek ditahan hasil maklumat dan sebanyak 15 buah buku ditemui di rumahnya.

“Bertindak atas maklumat itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah menahan suspek di sebuah rumah di daerah ini,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Kosmo

TERKINI

Lebuh Raya KBKK Capai 71.4 Peratus Siap, Dijangka Beroperasi Sepenuhnya 2027
|
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini…
Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran
|
Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis…
Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang…
Thailand Rampas 750 Liter Petrol Malaysia Disyaki Baru Diseludup Di Sungai Golok
|
Pihak berkuasa Thailand terus memperketat kawalan di sempadan apabila…
MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000
|
Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan…
Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita
|
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!