Ubat Kurus Disyaki Beracun Antara 5,584 Produk Dirampas JKN Kelantan

Sebanyak 5,584 produk kesihatan dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam serbuan serentak di tujuh premis pada Rabu selepas kegiatan penjualannya dirisik selama kira-kira setahun.

Sebahagian besar produk yang dirampas merupakan ubat kurus tidak berdaftar dan disyaki mengandungi racun berjadual yang boleh memberikan kesan terhadap sistem kardiovaskular, khususnya jantung.

Menurut laporan Sinar Harian, operasi dilaksanakan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNK selepas menerima aduan berkaitan penjualan produk tidak berdaftar.

Pengarah JKNK, Dr Kasuadi Hussin berkata, kegiatan tersebut dipercayai menggunakan rangkaian bekalan tertentu dan melanggar peruntukan Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.

Dua peranti digital termasuk telefon dan komputer turut dirampas untuk membantu pihak berkuasa menjejaki rangkaian bekalan produk berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua peranti digital dianggarkan RM60,000.

“Risikan terhadap kegiatan penjualan produk berkenaan dilakukan kira-kira setahun sebelum tindakan serbuan dilaksanakan pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri pada Rabu.

Sumber Bekalan Masih Disiasat

Dr Kasuadi berkata, pihaknya masih menyiasat sumber produk berkenaan termasuk kemungkinan dibawa masuk dari luar negara, diperoleh melalui ketirisan saluran bekalan atau dihasilkan sendiri.

“Kita tidak boleh kata secara automatik produk itu dibuat atau diambil dari luar. Ada kemungkinan ia terhasil daripada ketirisan atau pemesongan daripada saluran sebenar.

“Sebab itu peranti digital yang dirampas akan dianalisis untuk kita mengesahkan rangkaian atau rantaian bekalan yang terlibat,” katanya.

Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan kerana siasatan masih berjalan. Pekerja yang berada di premis ketika serbuan pula hanya diambil maklumat.

Tindakan penguatkuasaan itu bermula selepas JKNK menerima aduan mengenai penjualan ubat tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual.

“Hasil persampelan daripada produk yang diadu itu, kita dapati ia mengandungi racun berjadual.

“Setakat ini tidak ada individu tampil melaporkan mengalami kesan akibat penggunaan produk berkenaan, tetapi kita syak ia boleh memberi kesan kepada sistem kardiovaskular, khususnya jantung,” katanya.

Semua produk yang dirampas akan dihantar ke makmal untuk menentukan sama ada ia mengandungi racun berjadual.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!