Menteri Kesihatan Imamkan Solat Jenazah Dr Ainul Baraah

Lebih 1,000 jemaah menyertai solat jenazah pegawai perubatan, Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, hari ini.

Menurut laporan Bernama, solat jenazah pada jam 1.37 tengah hari itu diimamkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut menyertai solat jenazah ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Kasuadi Hussin serta ahli keluarga dan sahabat Allahyarhamah.

Bapa Allahyarhamah, Kamarudin Salleh, 69, berkata pihak keluarga memberikan kebenaran kepada Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada Menteri Kesihatan dan seluruh rakyat Malaysia termasuk saudara-mara serta sahabat kerana sentiasa mendoakan arwah anak,” katanya.

Jenazah Dibawa Pulang dengan Pesawat Khas TUDM

Terdahulu, pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Dr Ainul Baraah dari Miri, Sarawak tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada jam 11.21 pagi.

Dr Ainul Baraah, 33, merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak.

Helikopter berkenaan terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira jam 3.40 petang Selasa lalu.

Nahas itu turut mengorbankan juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!