Halang Keluar Rumah, Nenek Cedera Parah Dipukul Cucu Dengan Tukul Besi

Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun cedera parah selepas dipercayai dipukul cucunya menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang, Dungun petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.55 petang.

Pertengkaran Berlaku Sebelum Kejadian

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa menghalang cucu lelakinya yang berusia 25 tahun daripada keluar rumah.

Tindakan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran antara kedua-dua mereka sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

“Suspek dipercayai telah menolak mangsa, sebelum bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek Ditahan Polis

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut polis, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan.

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek bagi membantu siasatan.

Miliki Kad Pesakit Mental

Nik Ab Halim berkata, suspek yang ditahan didapati memiliki kad pesakit mental.

Selain menahan suspek, polis turut merampas tukul besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!