Sultan Kelantan Titah Manfaatkan ECRL Untuk Tarik Pelaburan Baharu

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan perlu memanfaatkan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula pada Januari 2027 bagi meningkatkan kecekapan logistik serta menarik pelaburan baharu ke Kelantan.

Baginda bertitah, kewujudan infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan bagi memperluas akses pasaran selain memperkukuh daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing.

“Harapan beta agar kerajaan Persekutuan dapat menaik taraf jalan utama, khususnya ke pusat pembangunan berasaskan transit di Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu dan pusat pembangunan berasaskan kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, hari ini.

Ekonomi Kelantan terus berkembang

Dalam titah sama, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa syukur terhadap prestasi ekonomi Kelantan yang terus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan positif.

“Pada tahun lepas, beta dimaklumkan ekonomi Kelantan telah berkembang pada kadar 4.1 peratus, berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Sektor perkhidmatan kekal menjadi tunjang utama ekonomi negeri dengan sumbangan 71.8 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak 19.8 peratus,” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut berpandangan bahawa Kelantan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi jangkaan pengoperasian dua kawasan industri baharu di Machang dan Tok Bali, Pasir Puteh pada tahun hadapan.

Baginda bertitah peningkatan sektor pembinaan melalui projek berimpak tinggi serta sektor perlombongan berasaskan kekayaan sumber sedia ada turut didorong oleh jaringan keterhubungan dan pembangunan infrastruktur utama yang semakin baik.

Sasarkan ekonomi biru Pantai Timur

Sultan Muhammad V turut menyatakan keyakinan Kelantan mampu menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari selari dengan agenda nasional.

“Beta menaruh keyakinan bahawa negeri beta boleh menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari, selari dengan agenda nasional.

“Beta menyambut baik penekanan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada tahun lepas berhubung pembangunan industri strategik dalam ekonomi biru melibatkan hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, serta industri pembinaan dan pembaikan kapal,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur supaya memainkan peranan bagi memastikan Taman Perindustrian Tok Bali menjadi teras kepada pembangunan ekonomi berkenaan.

Selain itu, Sultan Muhammad V menyambut baik usaha kerajaan negeri meneroka potensi ekonomi hijau termasuk tenaga boleh baharu sebagai salah satu sumber ekonomi baharu.

“Beta berharap inisiatif ini mampu menjana sumber hasil baharu negeri, di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar,” titah baginda.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!