Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan gelaran, darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian kepada 767 penerima sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 pada Selasa.
Istiadat pengurniaan berkenaan berlangsung di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Antara penerima ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Terdahulu, Pengarah Urusan Sentosa Jaya Sdn Bhd, Datuk Razali Daud mendahului senarai penerima.
Turut menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) ialah Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Azhan Md Othman.
Darjah berkenaan turut membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk.
Pengerusi Apek Equity Berhad, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador pula menerima Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail turut menjadi antara penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Istiadat pengurniaan berkenaan merupakan sebahagian daripada sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-57.
Sumber: Sinar Harian
