Malaysia, Thailand Setuju Percepat Projek Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok

Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat beberapa projek kesalinghubungan sempadan, termasuk cadangan pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta menghidupkan semula laluan kereta api antara kedua-dua kawasan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, di Putrajaya pada Khamis.

Menurut beliau, kedua-dua negara turut bersetuju meneruskan pembangunan zon ekonomi khas sempadan serta mempermudah urusan imigresen dan kastam bagi memperkukuh hubungan dua hala.

"Malaysia dan Thailand ialah negara berjiran yang penting. Dari segi sejarah, budaya, ekonomi, perdagangan dan pelaburan, kita menyedari masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkukuh kerjasama ini dalam semua bidang," katanya.

Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok Dipercepat

Anwar berkata, kedua-dua pemimpin bersetuju supaya cadangan pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dipercepatkan.

Katanya, projek itu akan melengkapkan jaringan kesalinghubungan di utara Semenanjung, selain memberi manfaat besar kepada Kelantan dan selatan Thailand.

Selain jambatan baharu, kedua-dua negara turut membincangkan cadangan awal untuk menghidupkan semula laluan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok.

Sasar Perdagangan USD30 Bilion Menjelang 2027

Dalam masa sama, Malaysia dan Thailand mengekalkan komitmen untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang 2027.

"Kita perlu bekerja lebih kuat dan saya berpendapat kedua-dua Menteri Luar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perlu memberi tumpuan kepada perkara ini, kerana persahabatan yang kukuh serta kerjasama dalam semua bidang termasuk pelancongan, mesti bermula dengan asas yang kukuh dalam ekonomi dan perdagangan," katanya.

Kerjasama Halal, Semikonduktor Dan ASEAN Power Grid

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perbincangan bersama Anutin turut menyentuh kerjasama dalam industri halal, industri semikonduktor dan pelaksanaan projek ASEAN Power Grid.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh kesalinghubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok bagi memudahkan pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand itu merupakan lawatan bilateral pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik semula pada Mac 2026.

Esok, kedua-dua pemimpin dijadual menghadiri majlis pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Malaysia di Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Thailand.

Sumber: Bernama

TERKINI

Walaupun Kos Naik, Peniaga Di Machang Tetap Kekalkan Harga Mee Celup RM1
|
Ketika kebanyakan peniaga makanan terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan…
KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!