Pintu Kaca Masjid Dipecahkan, Cecair Berbau Dituang Atas Karpet Di Tumpat

Polis sedang mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Tumpat, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.35 pagi selepas anggota Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima maklumat daripada orang awam.

“Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan selain terdapat cecair berwarna coklat kehijauan dan berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Polis Kenal Pasti Suspek

Mohd Khairi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

Polis turut sedang menilai jumlah kerosakan atau kerugian yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu polis bagi melancarkan siasatan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!