Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta selepas ini perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri sebelum menggunakan nama ‘Kelantan’ dalam penganjuran sesuatu program.
Menurut laporan Sinar Harian, syarat baharu itu akan diperkenalkan bagi mengelakkan reputasi negeri terjejas akibat program yang gagal dilaksanakan atau tidak diuruskan dengan baik.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, keputusan tersebut dibuat selepas timbul kontroversi melibatkan sebuah acara yang menggunakan nama ‘Kelantan’.
Acara berkenaan didakwa gagal diteruskan walaupun yuran penyertaan sudah dikutip daripada peserta.
“Selepas ini sebarang program yang dianjurkan oleh NGO ataupun pihak swasta yang menggunakan nama Kelantan perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.
“Bila guna nama Kelantan, dia perlu mendapat kebenaran,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pembatalan Kelantan International Marathon yang tular di media sosial dan mencetuskan rungutan peserta yang mendakwa telah membuat bayaran pendaftaran.
Kerajaan pernah nasihatkan penganjur
Menurut Zamakhshari, penganjur acara tersebut pernah menemuinya beberapa bulan lalu bagi membentangkan cadangan penganjuran program berkenaan.
Kerajaan negeri ketika itu menasihatkan mereka supaya memulakan penganjuran secara kecil-kecilan terlebih dahulu selepas meneliti pengalaman dan latar belakang penganjur yang bukan daripada bidang pengurusan acara.
“Namun mereka meneruskan juga penganjuran itu dan akhirnya timbul pelbagai isu.
“Saya tidak mahu mengatakan ia satu penipuan, tetapi mungkin berlaku kelemahan dari segi pengurusan sehingga program itu tidak dapat diteruskan dan sekarang peserta meminta bayaran balik,” katanya.
Zamakhshari menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam penganjuran Kelantan International Marathon.
“Masalah itu adalah masalah mereka. Kerajaan negeri langsung tiada kaitan.
“Tetapi apabila menggunakan nama Kelantan, orang ramai menyangka kerajaan negeri yang menganjurkannya. Akhirnya nama Kelantan pula yang dipersalahkan apabila program gagal dilaksanakan,” katanya.
Mekanisme permohonan akan diwujudkan
Kerajaan negeri akan mewujudkan satu mekanisme permohonan bagi menilai setiap cadangan program yang mahu menggunakan nama ‘Kelantan’.
Permohonan berkenaan akan dinilai mengikut portfolio Exco yang berkaitan.
Antara perkara yang akan diteliti ialah bentuk program, pengisiannya serta kemampuan pihak penganjur sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Tujuannya supaya nama Kelantan tidak tercemar akibat penganjuran program yang tidak diurus dengan baik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
