Kerajaan Kelantan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan garis panduan bagi mengawal pemilik tanah dan rumah daripada menyewakan hartanah mereka kepada warga asing, termasuk etnik Rohingya.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk dilaksanakan.
“Kami kemungkinan menimbang untuk wujudkan garis panduan hal ini dan perlu bincang dengan PTG.
“Macam mana kaedah untuk mengekang rakyat yang mana disebut sebagai 'si buang’ atau kurang patriotik ini daripada menyewakan tanah atau rumah mereka kepada warga asing apatah lagi kepada masyarakat Rohingya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, pada Isnin.
Mahu tingkatkan kesedaran pemilik hartanah
Menurut Hilmi, langkah berkenaan penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya menyewakan hartanah kepada golongan berkenaan sehingga boleh mewujudkan kelompok yang berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat setempat.
“Kempen ini akhirnya kembali kepada rakyat.
“Rakyat perlu ada kesedaran, kalau tak bagi sewa, insya-ALLAH dapat jaga keharmonian sebab kita tak nak wujud kelompok atau koloni kerana akan mengganggu masyarakat,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa urusan penyewaan tanah berbeza dengan pajakan, khususnya dari segi keperluan pendaftaran dan kebenaran pihak berkuasa negeri.
Katanya, perjanjian sewa bagi tempoh kurang tiga tahun tidak perlu didaftarkan di pejabat tanah, berbanding urusan pajakan yang perlu melalui proses pendaftaran serta mendapatkan kebenaran pihak negeri.
Keadaan itu menjadi antara kekangan kerajaan negeri untuk mengawal urusan penyewaan hartanah kepada warga asing kerana hak milik tanah masih kekal kepada pemilik asal.
Isu Rohingya berbeza dengan pekerja asing lain
Dalam perkembangan sama, Hilmi menjelaskan bahawa isu membabitkan etnik Rohingya tidak boleh disamakan dengan warga asing lain, termasuk pekerja dari Bangladesh, kerana kedua-duanya mempunyai latar belakang dan status berbeza.
Beliau turut mendedahkan terdapat pekerja asing yang memiliki permit kerja tetapi menjalankan perniagaan menggunakan lesen yang didaftarkan atas nama rakyat tempatan.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap premis yang didapati menjalankan perniagaan di bawah penguasaan warga asing tanpa mematuhi syarat lesen.
47 premis perniagaan warga asing dikenakan tindakan
Statistik Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) merekodkan sebanyak 47 premis perniagaan milik warga asing dikenakan tindakan kompaun dan sitaan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, premis melibatkan warganegara Pakistan mencatatkan angka tertinggi iaitu 29 premis.
Ia diikuti Aceh dengan 10 premis, manakala Bangladesh dan Rohingya mencatatkan lapan premis.
Hilmi berkata, antara kesalahan utama yang dikesan ialah beroperasi tanpa lesen sah serta tidak mempunyai lesen iklan.
“Antara kesalahan utama adalah beroperasi tanpa lesen sah dengan 25 kes, selain 24 kes kesalahan tiada lesen iklan.
“Pihak berkuasa turut mengenakan 21 kes atas kesalahan melanggar syarat lesen serta sembilan tindakan sitaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
