Seorang pemain kelab bola sepak Thailand maut manakala seorang pemain warga Malaysia cedera selepas disambar petir ketika berlangsungnya perlawanan Piala FA Golok di Stadium Santiphap, Sungai Golok, Narathiwat, petang Selasa.
Menurut laporan Bernama, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan ketika kawasan berkenaan dilanda hujan lebat.
Ketua Polis Sungai Golok, Kol. Thun Sirikhunt berkata, perlawanan masih diteruskan sebelum petir secara tiba-tiba menyambar bahagian tengah padang.
"Kejadian itu mengakibatkan lebih sembilan individu cedera, manakala seorang warga Thailand, Sofwan Awae, 24, pemain Yala FC, meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pemain warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22.
Menurut Thun, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.30 petang sebelum bergegas ke stadium dan mendapati Sofwan berada dalam keadaan kritikal.
"Walaupun pasukan perubatan kecemasan berusaha sedaya upaya menyelamatkannya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami," katanya.
Semua mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar berhubung kejadian berkenaan.
Video ini mempunyai sekatan umur dan hanya boleh ditonton melalui YouTube.
Sumber: Bernama
