Seorang lelaki tempatan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan memecut ketika diminta berhenti untuk pemeriksaan.
Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, tertuduh yang berusia 25 tahun dihadapkan ke mahkamah pada 6 Ogos mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Peruntukan tersebut membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Kejadian berlaku pada awal pagi 1 Ogos apabila kenderaan yang dipandu tertuduh diarahkan berhenti oleh pihak polis bagi tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun, lelaki itu didakwa tidak mematuhi arahan berkenaan dan terus memecut sehingga mencetuskan insiden kejar-mengejar.
Tertuduh akhirnya berjaya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu dipercayai melarikan diri kerana memandu tanpa lesen, selain cukai jalan kenderaannya telah tamat tempoh.
Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Vinoshen A/L Raveentharan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara selama lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
