Nash Puji Syahmi Sazli Bawa Artis Otai Kembali ke Pentas

Ketika Artis Lama Semakin Dilupakan, Syahmi Sazli Bawa Mereka Kembali ke Pentas

Ada penyanyi veteran yang masih menerima banyak undangan.

Namun, ada juga yang namanya semakin jarang disebut sehingga terpaksa membuat persembahan secara busking untuk meneruskan kehidupan.

Sebab itulah Datuk Nash begitu menghargai apa yang dilakukan Syahmi Sazli.

Menurut laporan Berita Harian, penyanyi berusia 67 tahun itu menyifatkan Syahmi sebagai seorang usahawan dan penganjur acara yang memiliki hati sangat mulia.

“Kadang-kadang dalam industri ini, walau apa juga bidang yang seseorang usahawan ceburi, ada insan yang Allah kurniakan hati yang sangat mulia.

“Kenapa saya kata Syahmi Sazli hatinya mulia? Sebab dia satu-satunya pengusaha dan penganjur acara yang membawa semula artis-artis lama.

“Artis-artis lama yang sudah lama orang tidak ingat dan seolah-olah dilupakan,” katanya.

Bagi Nash, usaha tersebut membawa makna besar kepada penyanyi veteran yang bergantung kepada bidang nyanyian sebagai sumber rezeki.

“Alhamdulillah, Syahmi membawa mereka kembali. Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada beliau.

“Memang ada artis yang masih aktif seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella dan beberapa nama lain yang masih menerima banyak undangan.

“Alhamdulillah, saya juga masih aktif. Tetapi bagaimana pula dengan rakan-rakan lain yang tidak lagi aktif dan bergantung kepada bidang nyanyian untuk mencari rezeki?

“Ada antara mereka yang terpaksa membuat persembahan secara busking dan sebagainya,” katanya.

Satu Persembahan Boleh Membuka Peluang Baharu

Apa yang dilakukan Syahmi bukan hanya memberi bayaran kepada artis untuk satu malam.

Apabila persembahan mereka dirakam dan tular di media sosial, orang ramai kembali mengetahui bahawa artis berkenaan masih aktif dan mampu menghiburkan peminat.

“Apabila Syahmi memberi peluang, bukan sekadar mereka menerima bayaran untuk satu persembahan.

“Secara tidak langsung, masyarakat akan tahu artis itu masih aktif menyanyi. Apabila perkara itu tular di media sosial, lebih ramai akan melihat dan mengenali mereka semula.

“Daripada situ, lebih banyak peluang akan terbuka. Alhamdulillah,” kata Nash.

Antara artis veteran yang diberikan ruang ialah penyanyi rock, Rahim Maarof, 72.

Beliau diundang membuat persembahan dalam acara BLANK Jom Santai X Syahmi Sazli di kawasan parkir Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu.

Program itu diwujudkan bagi membawa kembali penyanyi otai yang sudah lama menyepi, sekali gus memberi peluang kepada peminat lama melepaskan rindu.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin hanya satu persembahan.

Namun, bagi artis yang semakin dilupakan, satu pentas itu mungkin menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang dan sumber rezeki baharu.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!