Rakyat Kelantan Bersatu Raikan Ambang Kemerdekaan di Kota Bharu

Stadium Sultan Muhammad IV meriah dengan kehadiran rakyat yang bersama-sama meraikan malam kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kelantan.

malam kemerdekaan stadium sultan muhammad iv kota bharu

Foto: DPP


Menerusi perkongsian di media sosial, Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyambut detik bersejarah itu bersama rakyat yang memenuhi stadium berkenaan.

“Alhamdulillah, malam yang begitu meriah apabila dapat bersama-sama rakyat Kelantan yang hadir memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV, bagi meraikan malam kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kelantan,” katanya.

Pelbagai pengisian semarakkan sambutan

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program termasuk perarakan agensi, Malam Munajat Merdeka, persembahan seni mempertahankan diri dan persembahan lagu patriotik.

Pertunjukan bunga api turut menghiasi ruang udara sekali gus menambahkan kemeriahan sambutan ambang Hari Kebangsaan di Kota Bharu.

Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua pihak yang bekerja keras menjayakan program tersebut.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur serta semua pihak yang telah bekerja keras dalam menjayakan sambutan yang cukup meriah dan bermakna ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Kelantan yang hadir bersama keluarga, anak-anak dan sahabat handai untuk sama-sama menghayati dan meraikan detik bersejarah ini,” katanya.

Semarak semangat cinta akan negara

Beliau berharap sambutan berkenaan dapat meningkatkan lagi semangat patriotik serta hubbul watan, yang membawa maksud cinta akan tanah air, dalam diri setiap rakyat.

“Semoga sambutan seperti ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dan hubbul watan (cinta akan tanah air) dalam diri kita semua.

“Marilah kita bersama-sama menghargai nikmat keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi, di samping terus memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 kepada seluruh rakyat dengan membawa tema “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati – Penghayatan Membangun Bersama Islam”.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!