Bekas CEO Kelantan FC Saran KRW Tarik Diri dari Liga Super

Kelantan Red Warriors (KRW) disarankan menarik diri daripada Liga Super selepas mengalami tiga kekalahan besar berturut-turut pada permulaan musim.

Pandangan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid.

Menurut laporan Harian Metro, Muzakkir berpandangan tindakan menarik diri lebih wajar daripada membiarkan KRW terus menjadi sasaran pasukan lawan sehingga mencalarkan imej bola sepak Kelantan.

“Lebih baik Kelantan (KRW) tarik diri dan jangan malukan nama negeri Kelantan.

“Daripada Kelantan kena belasah saja, yang terbaik sekali tarik diri saja. Supaya tidak malukan nama Kelantan.

“Lebih baik tarik diri daripada memalukan nama Kelantan. Nak bayar sekatan perpindahan oleh FIFA memang mustahil. Jadi daripada terus jadi lubuk, baik tarik diri saja,” katanya kepada Arena Metro.

Bolos 18 gol dalam tiga perlawanan

KRW memulakan saingan Liga Super dengan kekalahan 1-4 kepada Selangor FC sebelum tewas 0-9 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam perlawanan terbaharu, KRW sekali lagi gagal memberikan saingan apabila tunduk 0-5 kepada Kuching City FC.

Tiga keputusan itu menyaksikan KRW bolos 18 gol dan hanya mampu menjaringkan satu gol sepanjang tiga perlawanan awal.

Muzakkir berkata, keputusan besar tersebut menunjukkan pasukan masih belum bersedia untuk bersaing pada peringkat Liga Super.

“Kita bagi komen sejujurnya dan berfakta. Kelantan memang tidak bersedia untuk beraksi di Liga Super. Kalau dah kena sampai 9-0, 5-0 dan 4-1 di awal liga, lepas itu disekat oleh FIFA pula, lebih baik tarik diri. Memalukan nama yang dibawa iaitu nama negeri Kelantan,” katanya.

Cadang tukar nama jika mahu teruskan saingan

Sekiranya KRW masih mahu meneruskan saingan, Muzakkir mencadangkan pengurusan mempertimbangkan pertukaran nama pasukan supaya nama Kelantan tidak terus dikaitkan dengan kekalahan besar.

“Atau kalau tak nak tarik diri, tukarlah nama pasukan. Jangan letak Kelantan sebab ia akan malukan rakyat dan bola sepak negeri Kelantan.

“Letak nama lain, bukan nama Kelantan. Ikut macam Imigresen FC, mereka berani ambil langkah menukar nama kepada Star City FC sebab nak elak badan beruniform itu daripada menjadi belasahan dan akhirnya yang akan beri imej buruk kepada Imigresen.

“Jadi KRW kena buat perkara sama, atau tarik diri saja. Liga masih panjang, kita tak mahu nama Kelantan terus diperkotak-katikkan,” katanya.

Sekatan FIFA halang usaha perkuat pasukan

Muzakkir berkata, cabaran KRW menjadi semakin sukar tanpa kehadiran pemain import berkualiti, terutama ketika berdepan pasukan elit yang mempunyai barisan pemain lebih lengkap.

Sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilihat menjadi antara halangan utama kepada usaha memperkuatkan pasukan.

“Nak main dalam Liga Super perlu ada import yang terbaik untuk bersaing dalam liga. Kalau tak boleh daftar sebab kena sekatan oleh FIFA, memang agak sukar untuk bersaing dengan pasukan elit seperti JDT, Selangor FC dan Kuching City,” katanya.

KRW kini berdepan tugas berat untuk mengubah nasib pasukan selepas hanya tiga perlawanan awal musim.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!