Seorang lelaki warga India mengaku membayar RM6,800 kepada ejen sindiket penyeludupan antarabangsa untuk memasuki semula Malaysia secara haram bagi mencari pekerjaan.
Menurut laporan Sinar Harian, pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 35 tahun itu pernah tinggal dan bekerja di Selangor selama empat tahun sebelum pulang ke India selepas permit perjalanannya tamat tempoh.
“Saya dah empat tahun tinggal di Selangor dan bekerja di sini.
“Kali pertama datang pakai permit dan kali kedua ini saya bayar RM6,800 kepada ejen,” katanya selepas ditahan Maritim Malaysia Kelantan.
Perjalanannya bermula dari India dengan menaiki penerbangan ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand secara sah menggunakan pasport.
Dari Thailand, dia kemudiannya dibawa masuk ke Malaysia secara haram menggunakan bot.
Mahu Kembali Bekerja di Selangor
Lelaki itu mendakwa pernah bekerja dengan sebuah syarikat kurier di Selangor dan memperoleh pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.
“Saya mahu kembali bekerja di Malaysia kerana sebelum ini sudah biasa bekerja di sini.
“Saya juga faham dan boleh cakap bahasa Melayu,” katanya.
Dia turut mendakwa pernah mempunyai hubungan dengan seorang wanita tempatan ketika bekerja di Malaysia sebelum ini.
Lelaki berkenaan merupakan antara empat warga India yang ditahan dalam operasi Maritim Malaysia Kelantan pada Rabu lalu.
Sebuah bot yang membawa mereka dikesan di perairan Kuala Besar sebelum kesemua individu terbabit ditahan di tebing Sungai Kelantan, di belakang Pelangi Mall, Kota Bharu.
Kesemua mereka disiasat atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Sinar Harian
