Ketika kebanyakan peniaga makanan terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan kos bahan mentah, seorang peniaga di Kampung Raja, Machang memilih untuk terus mengekalkan beberapa menu pada harga hanya RM1 sejak hampir sedekad lalu.
Aminah Awang, 58, atau lebih mesra disapa Kak Tie, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan pelajar, masih dapat menikmati hidangan panas pada harga yang mampu milik.
Beliau mula mengusahakan perniagaan makanan pada tahun 2016 selepas menutup kedai runcit miliknya. Menurutnya, idea menjual hidangan RM1 datang daripada anak keduanya, Ku Nur Ainna Atiera, 31, yang mahu menyediakan pilihan makanan murah kepada kanak-kanak dan pelajar terutama selepas waktu persekolahan.
Antara menu yang dijual pada harga RM1 ialah mi sup, bihun sup, kuetiau sup, nasi air, sosej bakar, Air Batu Campur (ABC) dan Air Batu Jagung (ABJ).
Antara menu RM1 di Kedai Kak Tie Mee Celup Dua Amah, Kampung Raja, Machang. | Foto: Bernama
Selain itu, Kak Tie turut menawarkan nasi bersama ayam cincang pada harga RM3, Nasi Bujang RM2.50 dan Maggi Kari RM3 bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan mengikut kemampuan masing-masing.
Walaupun dijual pada harga rendah, setiap hidangan tetap disediakan dengan lengkap termasuk sayur sawi dan isi ayam supaya pelanggan dapat menikmati makanan yang enak serta berkhasiat.
Menurut Kak Tie, peningkatan kos bahan mentah tidak menghalangnya mengekalkan harga tersebut kerana beliau mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah daripada pembekal tempatan serta menguruskan kos operasi secara berhemah.
“Alhamdulillah, walaupun untungnya tidak besar saya masih mampu memperoleh keuntungan seadanya. Apa yang penting pelanggan dapat makan dengan harga murah dan saya dapat terus berniaga.”
Kini, operasi kedai dibantu oleh anak keempatnya, Ku Nur Ainna Ariesya, 23, bersama empat pekerja.
Kedai Kak Tie Mee Celup Dua Amah beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam dan menjual sekitar 200 hingga 250 mangkuk hidangan setiap hari. Pelanggannya bukan sahaja datang dari sekitar Kelantan, malah ada yang sanggup datang dari Johor dan Kuala Lumpur.
Bagi Kak Tie, mengekalkan harga RM1 bukan sekadar strategi perniagaan, tetapi juga satu cara untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat.
“Saya anggap ini sebagai satu cara untuk bersedekah. Kalau orang yang mempunyai ramai anak atau kurang berkemampuan datang makan di sini, mereka boleh menikmati makanan yang murah dan mengenyangkan. Itu yang paling menggembirakan saya.”
Sementara itu, pelanggan setianya, Maria Nasuha Fauzi, 27, berkata dia sanggup memandu kira-kira 30 minit dari Kampung Bukit Arang, Kuala Krai sejak empat tahun lalu semata-mata untuk menikmati menu di kedai berkenaan.
“Saya tertarik dengan keunikan menu RM1 yang sukar ditemui di tempat lain. Makanannya bukan sahaja murah, tetapi sedap dan mengenyangkan walaupun hanya satu hidangan.
“Saya biasanya akan makan mi sup bersama ABC, dan bagi saya inilah antara tempat yang masih mengekalkan konsep makanan mampu dinikmati semua.”
Sebelum ini, kedai Kak Tie turut menjadi perhatian ramai selepas perkongsian pempengaruh TikTok Senok Perut mengenai mi sup RM1 yang dijual di situ tular di media sosial sehingga meraih lebih 1.3 juta tontonan.
Sumber: Bernama
