Tiga Maut Myvi Bertembung Treler di Gua Musang

Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala seorang wanita cedera parah selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan diesel di Jalan Gua Musang–Kuala Krai pada pagi Jumaat.

Kemalangan berlaku berhampiran Gua Sejuk kira-kira jam 7 pagi ketika Perodua Myvi berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju Gua Musang.

Menurut laporan Bernama, mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki. Pemandu treler pula dilaporkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.16 pagi sebelum lapan anggota tiba di lokasi kejadian dengan dua jentera pada 7.52 pagi.

“Peralatan khas digunakan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. Ketiga-tiga penumpang Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang didapati cedera parah, manakala pemandu treler selamat,” katanya.

Treler terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kota Bharu.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Myvi Dipercayai Masuk Laluan Bertentangan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan.

Kereta itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah berlawanan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 7 pagi dan kenderaan yang dipandu lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

lori tangki minyak kemalangan maut gua musang

Lori tangki minyak yang terlibat dalam kemalangan | Foto: Balai Bomba Gua Musang


“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.

Sempat Berbicara Tentang Kematian

Pemandu Myvi yang maut dikenali sebagai Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, anak bongsu daripada lapan beradik.

Ibunya, Faridah Bedollah, 59, berkata anaknya sempat berbual tentang kematian tiga hari sebelum tragedi itu berlaku.

Faridah Bedollah ibu salah seorang mangsa

Faridah Bedollah, 59, ibu salah seorang mangsa kemalangan maut menunjukkan gambar Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim | Foto Bernama


Perbualan berkenaan tercetus selepas Syazwan menguruskan hal bekas majikannya yang baru meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Beberapa hari sebelum ini, dia ada mengurus hal bekas majikannya yang baru meninggal dunia akibat serangan jantung. Jadi, dia ada bersembang dengan saya dan bertanya jika dia meninggal dunia macam mana dengan bayaran untuk urusan kematiannya nanti.

“Saya menjawab pertanyaannya itu dan memaklumkan akan mengusahakan bayaran yang diperlukan mengikut kemampuan kerana kami bukan orang berada. Saya sama sekali tidak terfikir hal ini menjadi petanda arwah akan pergi dahulu,” katanya.

Baru Mula Bekerja Sebagai Mekanik

Syazwan baru bekerja sebagai mekanik di sebuah pusat servis kereta pada April lalu selepas menamatkan latihan industri dan pengajian di Institut Latihan Perindustrian Marang, Terengganu.

Sebelum kejadian, dia memaklumkan kepada ibunya mengenai rancangan untuk ke Cameron Highlands bersama rakan sekampung dan akan pulang pada hari sama.

“Arwah memberitahu saya bahawa ibu rakannya telah mengajak dia untuk bersiar-siar ke sana dengan memandu kereta milik mereka. Arwah sememangnya seorang yang peramah dan mudah berkawan dengan orang tua dan rakan sebaya.

“Biasanya, dia akan bersalam dengan saya sebelum bertolak ke mana-mana, tetapi semalam dia tidur di rumah neneknya. Apabila saya bangun pagi tadi, abangnya telah memberitahu bahawa dia telah bertolak,” katanya.

Faridah mengetahui mengenai kemalangan itu daripada seorang jiran kira-kira jam 9 pagi.

Jenazah Syazwan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tegayong Barat, Melor selepas proses bedah siasat selesai.

Sumber: Bernama

TERKINI

Polis Siasat Video Tular Jual Air Ketum Ketika RXZ Members
|
Polis membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan air ketum secara…
Jumlah Penduduk Kelantan Bagi Tahun 2026
|
Jumlah penduduk Kelantan dianggarkan meningkat kepada 1,925,300 orang pada…
Dari Penjual Tepi Jalan, Dolly Kini Dibayar Puluhan Ribu Untuk Hidang Teh
|
Di tepi sebatang jalan di Nagpur, India, seorang pemuda…
Dah Jadi ‘Pilot’ Pun Masih Mahu Edar Dadah, Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta
|
Seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas…
Tiga Maut Myvi Bertembung Treler di Gua Musang
|
Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala seorang…
Dua Rumah Musnah dalam Kebakaran di Rantau Panjang
|
Seorang penduduk ternampak sebuah motosikal terbakar sebelum api merebak…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!