Pesara Dari Tanah Merah Hasilkan Lebih 30 Varieti Anak Pokok Durian

Minat terhadap kerja mencantum pokok sejak usia muda terus menjadi sumber rezeki buat seorang pesara Jabatan Pertanian yang masih aktif menghasilkan anak pokok durian pelbagai varieti walaupun sudah 19 tahun meninggalkan dunia perkhidmatan awam.

Abdul Aziz Deraman, 74, atau lebih mesra disapa Pakjid berkata, minatnya bermula sekadar hobi apabila mencantum pelbagai jenis anak pokok bagi melihat hasil yang mampu diperoleh melalui teknik tersebut.

Bermula Dengan Pokok Rambutan

Bapa kepada lima anak itu berkata, percubaan pertamanya ialah mencantumkan dua jenis anak pokok rambutan yang berjaya mengeluarkan tunas baharu dalam tempoh kira-kira dua minggu.

"Kejayaan itu memberi keyakinan kepada saya untuk terus mendalami ilmu cantuman pokok sebelum menyertai Jabatan Pertanian pada 1973," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bukit Bertam, Tanah Merah.

Menurutnya, sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat di Jabatan Pertanian, beliau diberi tanggungjawab sebagai tukang cantum dan berjaya menghasilkan ribuan anak pokok buah-buahan berkualiti.

Selain itu, beliau turut berkongsi ilmu dengan pelajar yang menjalani latihan serta golongan belia di Kelantan yang berminat mempelajari teknik cantuman pokok.

Lebih 30 Varieti Durian

Sehingga kini, Abdul Aziz berjaya menghasilkan lebih 30 varieti anak pokok durian menerusi teknik cantuman termasuk Musang King, Black Thorn, D2 atau Dato Nina, D10, D24, D29, D78, D88, D89, D16, Tok Litok, Baserah, Udang Merah, Bunga Merah, F50, Kunyit Satu, Kunyit Dua, Kunyit Chempaka dan Kunyit Johor.

Katanya, proses menghasilkan anak pokok bermula dengan menyemai biji benih menggunakan campuran tanah, sekam padi atau pasir bersama baja sebelum dibiarkan membesar sehingga mencapai ukuran kira-kira sejengkal.

"Apabila pokok sudah mencapai tahap diinginkan, barulah proses cantuman dilakukan sama ada menggunakan kaedah cantuman mata tunas atau cantuman sisi. Jika semuanya berjalan lancar, tunas baharu akan keluar dalam tempoh kira-kira 25 hari," katanya.

Beliau menjelaskan setiap teknik cantuman memerlukan kaedah berbeza selain ketelitian, kesabaran dan pengalaman bagi memastikan cantuman berjaya.

Permintaan Sentiasa Menggalakkan

Kini, Abdul Aziz mampu menghasilkan sehingga 250 anak pokok sehari dan mempunyai kira-kira 1,000 anak pokok durian pelbagai varieti yang sedang dibesarkan sebelum memulakan semaian baharu.

Anak pokok berusia sekitar empat bulan dijual pada harga antara RM15 hingga RM150 sepokok bergantung kepada varieti dan saiz.

Menurutnya, permintaan terhadap anak pokok durian sentiasa menggalakkan terutama bagi varieti Musang King dan Black Thorn yang menjadi pilihan pembeli dari seluruh negara.

Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan anak pokok dengan melakukan semburan racun sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi mengelakkan serangan penyakit yang boleh menyebabkan daun menjadi kuning dan berbintik.

"Saya berharap lebih ramai golongan muda berminat mempelajari teknik cantuman kerana ia bukan sahaja mampu menjana pendapatan bahkan dapat menyumbang kepada pembangunan industri durian negara," katanya yang kini memperoleh pendapatan empat angka setiap bulan.

Sumber: Bernama

TERKINI

KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!