Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang pokok pulai dipercayai berusia lebih 200 tahun yang tumbang ketika kejadian ribut di Kampung Petani, Sering, Kota Bharu pada petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Sauti Mohamad, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Seorang saksi, Aziz Ismail, 48, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran rumahnya sebelum bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, sebatang pokok pulai yang dipercayai sudah reput tumbang melintang jalan sehingga menghalang laluan.

"Secara kebetulan, sebuah jengkaut melalui jalan tersebut sebelum kami meminta bantuan pemandunya untuk mengalihkan pokok itu.

"Selepas pokok berjaya dialihkan, saya terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Saya percaya mangsa sudah meninggal dunia sebelum meminta orang ramai menghubungi talian kecemasan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Aziz berkata, pokok berkenaan dipercayai berusia lebih 200 tahun dan berkemungkinan tumbang kerana akarnya sudah uzur selain keadaan cuaca yang berangin ketika kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!