Malas Beratur Cop Pasport, Lelaki Thailand Dicekup Guna Pangkalan Haram Di Rantau Panjang

Hasrat seorang lelaki warga Thailand untuk mengelak beratur di kaunter imigresen bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menggunakan pangkalan haram untuk memasuki semula Malaysia.

Kejadian berlaku di Pangkalan Haram Azizah, Rantau Panjang apabila anggota Batalion 9 PGA yang sedang menjalankan rondaan mengesan lelaki berusia 30 tahun itu tiba dengan menaiki bot kira-kira jam 6 petang semalam.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, sebelum itu lelaki berkenaan bersama isterinya telah memasuki Malaysia secara sah selepas mengecop pasport di ICQS Rantau Panjang.

Isteri Tunggu Di Malaysia

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian berpatah balik ke Thailand dengan alasan mahu membeli barang, manakala isterinya menunggu di sebelah Malaysia.

Selesai membeli barang, lelaki itu memilih untuk tidak melalui kaunter imigresen, sebaliknya menaiki bot melalui Pangkalan Haram Azizah untuk memasuki semula Malaysia.

Pemeriksaan mendapati pasportnya mempunyai cop kemasukan yang sah bertarikh 5 Julai dan pihak berkuasa percaya tindakannya menggunakan laluan tidak sah itu dipercayai kerana mahu mengelak beratur di kaunter ICQS.

Bekerja Di Pahang Sejak Dua Tahun

Siasatan lanjut mendapati lelaki itu bersama isterinya bekerja di sebuah kedai makan di Gambang, Pahang sejak dua tahun lalu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!