Cubaan menyeludup gas petroleum cecair (LPG) ke Thailand tidak berjaya apabila seorang lelaki bertindak terjun ke Sungai Golok selepas menyedari kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Mekza, Simpangan, Tumpat, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek meninggalkan sebuah perahu yang sarat dengan 15 tong LPG berkapasiti 14 kilogram yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan sebuah perahu yang dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, suspek terus terjun ke Sungai Golok sebelum berenang ke arah sempadan Thailand bagi meloloskan diri.
“Pemeriksaan di dalam perahu itu menjumpai sebanyak 15 tong LPG berkapasiti 14 kilogram yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemilik perahu tersebut. Perahu dan tong LPG itu dihantar ke kompeni taktikal PGA di Pengkalan Kubor di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata, semua barang rampasan termasuk sebuah penimbang telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Kosmo
