Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengakui mereka bersedia melakukan penjenamaan semula termasuk menukar nama serta logo pasukan sekiranya diarahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, kelab itu berharap identiti yang digunakan ketika ini dapat dikekalkan kerana sudah dikenali dalam kalangan penyokong dan peminat bola sepak, malah menarik minat pihak luar.
Menurut laporan Sinar Harian, Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penjenamaan semula hanya akan dilakukan sebagai pilihan terakhir sekiranya ia menjadi syarat yang ditetapkan oleh FIFA.
"Kalau boleh kita mahu kekalkan kerana nama ini sudah dikenali, malah ada pihak dari Brunei yang menunjukkan minat kepada pasukan ini atas faktor nama dan logonya.
"Namun jika kita terpaksa menukar nama, kita sudah bersedia," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Penaja KRW FC Musim 2026/27.
Beliau menjelaskan, fokus utama kelab ketika ini adalah meneruskan persiapan menghadapi saingan Liga Super menggunakan nama dan logo sedia ada sambil menunggu keputusan daripada FIFA.
"Pada masa sama, kita menunggu keputusan daripada FIFA. Jika perlu ditukar, kita akan lakukan kerana persediaan ke arah itu memang sudah ada.
"Buat masa ini saya minta penyokong terus bersama KRW FC, gunakan nama dan logo ini dengan penuh semangat sambil kita menanti keputusan yang bakal dibuat," katanya.
Semua Dokumen Sudah Diserahkan Kepada FIFA
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memaklumkan semua dokumen berkaitan isu sekatan perpindahan pemain yang dikenakan FIFA terhadap KRW FC telah lengkap dan diserahkan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Beliau berkata, beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menjelaskan kedudukan sebenar kes berkenaan.
Menurut beliau, semua pihak memahami bahawa tuntutan membabitkan tunggakan gaji lima bekas pemain import dan dua bekas jurulatih Korea Selatan itu bukan berpunca daripada pengurusan KRW FC.
"Dalam pertemuan yang diadakan, FAM, MFL dan AFC sudah memahami kedudukan sebenar. Isu ini dipercayai timbul akibat kekeliruan terhadap nama dan logo kelab sehingga membuka ruang kepada tuntutan dibuat terhadap KRW FC.
"Kita sudah memberikan penjelasan dan kini hanya menunggu keputusan selepas semua dokumen lengkap diserahkan kepada FIFA. Insya-ALLAH keputusan dijangka diperoleh kira-kira seminggu selepas tamat Piala Dunia," katanya.
Sebelum ini, KRW FC dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA membabitkan tuntutan tunggakan gaji lima bekas pemain import Kelantan FC iaitu Dannis Buschening, Mario Arques, Kervens Belfort, Nuha Marong Krubally dan Ismahil Akinade, selain dua bekas jurulatih dari Korea Selatan, Kim Ming-yu serta Choi Moon-sik.
Muhamad Zaki berkata, beliau yakin keputusan FIFA akan memihak kepada KRW FC berdasarkan fakta dan dokumen yang telah dikemukakan, selain mendapat sokongan serta kefahaman daripada FAM, MFL dan AFC.
"Dari sudut undang-undang, kita sudah memulakan proses dan tindakan sedang berjalan.
"Kita yakin semua usaha yang dilakukan ini akan membolehkan isu sekatan diselesaikan dalam masa terdekat, sekali gus memberi laluan kepada KRW FC menghadapi saingan Liga Super tanpa sebarang halangan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
