Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti Abu Salim meluahkan rasa bangga apabila pasukannya berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan berdasarkan merit.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkara teknikal membabitkan pengurusan pasukan perlu diselesaikan segera bagi memastikan persiapan menghadapi musim baharu tidak terjejas.
Menurut Irfan Bakti, latihan pasukan ketika ini berjalan seperti biasa, namun usaha mendapatkan pemain baharu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
“Persiapan pasukan ketika ini berjalan lancar, namun proses mendapatkan pemain baharu, sama ada tempatan mahupun import terpaksa ditangguhkan sementara kerana kami perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal.
“Kami bersedia beraksi dalam saingan Liga Super dan berbangga kerana layak secara merit. Bagaimanapun, pihak pengurusan sedang berusaha menangani perkara yang berbangkit,” katanya.
Beliau menjelaskan, selagi isu tersebut belum diselesaikan, pihak pengurusan tidak dapat membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.
“Pihak pengurusan sedang berusaha sedaya upaya menyelesaikan perkara itu kerana pasukan memerlukan skuad yang lengkap untuk menghadapi cabaran Liga Super yang lebih kompetitif berbanding Liga A1 Semi-Pro musim lepas,” katanya.
Menurut beliau, KRW FC juga perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk beraksi dalam Liga Super dan berharap segala perkara berkaitan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Ketika ini latihan dijalankan dengan 18 hingga 20 pemain sedia ada sementara menunggu peluang,” katanya.
Sumber: Bernama
