Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengesahkan mereka akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026/27 dan memberi jaminan untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi cabaran di pentas tertinggi bola sepak negara.
Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seluruh pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain komited membentuk sebuah pasukan yang berdaya saing bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar berbanding Liga A1 Semi Pro musim lalu.
Menurut beliau, pengesahan slot Liga Super itu merupakan detik yang amat bermakna buat seluruh warga KRW FC serta penyokong setia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada pasukan.
"Penyertaan dalam Liga Super juga satu langkah penting ke arah mengembalikan kemeriahan dan kegemilangan bola sepak Kelantan, selain berharap penyokong terus memberikan sokongan padu bagi memperkukuh semula kekuatan pasukan agar mampu bersaing dengan kelab elit lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysian Football League (MFL) atas peluang yang diberikan kepada KRW FC untuk kembali bersaing dalam Liga Super musim 2026/27.
KRW FC yang sebelum ini layak secara merit ke Liga A1 Semi Pro mengesahkan tempat dalam Liga Super selepas PDRM FC menarik diri daripada saingan musim baharu.
Isu sekatan perpindahan dalam proses penyelesaian
Mengulas mengenai isu sekatan perpindahan pemain, Muhamad Zaki memaklumkan perkara itu sedang melalui proses penyelesaian bersama pihak berkaitan.
Beliau berkata, pihak kelab komited memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan yakin isu tersebut dapat diselesaikan mengikut saluran serta prosedur sewajarnya sebelum sepak mula musim baharu.
Dengan pengesahan penyertaan ini, KRW FC kini mempunyai tempoh singkat untuk melengkapkan persiapan pasukan termasuk memperkukuhkan skuad bagi menghadapi cabaran Liga Super yang dijadual membuka tirai pada musim 2026/27.
Sumber: Bernama
