Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar dokumen kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjelaskan isu sekatan perpindahan yang sedang dihadapi pasukan itu.
Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihak kelab yakin berada di pihak yang benar dan percaya sekatan tersebut berpunca daripada kekeliruan teknikal membabitkan aduan kes lama.
Menurut beliau, KRW FC dan Kelantan FC merupakan dua entiti yang berbeza, justeru isu melibatkan kelab terdahulu tidak sepatutnya dikaitkan dengan pengurusan semasa.
“Kekeliruan timbul disebabkan masalah kelab lalu, yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan kelab ketika ini. FIFA ada alasannya juga, kami tidak boleh menolak sepenuhnya.
“Kami kena menjelaskan keadaan itu, kami telah serahkan dokumen bahawa kami tiada kena mengena dengan kelab terdahulu dan kelab itu masih wujud. Mungkin di peringkat awal dahulu oleh kerana kami ingin meneruskan perjalanan kelab — di peringkat itu hanya seorang sahaja yang membuat tuntutan — kami bayar (tuntutan itu).
“Pembayaran itu bukan bermakna kami bersalah, tapi kami bayar kerana nak meneruskan perjuangan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Intai pemain baharu jika sekatan ditarik balik
Muhamad Zaki berkata, sekiranya FIFA menarik balik sekatan perpindahan itu, pihak pengurusan sudah mengenal pasti beberapa pemain bagi memperkukuhkan skuad menghadapi saingan Liga Super musim 2026/27.
Beliau optimis isu berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat agar proses memperkuatkan pasukan tidak terjejas menjelang permulaan musim baharu.
KRW FC sebelum ini disahkan menjadi pasukan ke-12 yang akan beraksi dalam Liga Super musim 2026/27 selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh First Instance Body (FIB).
Sumber: Stadium Astro
