Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) memerlukan RM100,000 bagi merealisasikan penganjuran Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ke-6 yang dijadual berlangsung di N10 Sports Centre, Wakaf Bharu dari 1 hingga 6 September depan.
Menurut laporan Berita RTM, Presiden KelSDeaf, Saiful Helmie Dzamani berkata, walaupun pihaknya berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah buat kali pertama, kekangan kewangan masih menjadi cabaran utama.
Sehubungan itu, beliau merayu syarikat korporat, usahawan dan individu prihatin tampil menghulurkan penajaan bagi memastikan kejohanan dapat dianjurkan dengan lancar.
"Sekarang kita dah hantar (permohonan) pada mana-mana syarikat tetapi masih belum ada kata putus. Jika kita dapat bertemu atau perjelaskan berkenaan kejohanan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat pencerahan atau membantu.
"Cuma orang pekak ini tidak pandai dari segi publisiti dan komunikasi, tetapi dari segi promosi sukan kita mampu untuk menarik penyertaan atau menganjurkan kejohanan ini," katanya.
Menurut laporan Bernama, setakat ini tujuh pasukan lelaki dan empat pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan, manakala pihak penganjur menyasarkan penyertaan daripada kesemua 14 negeri.
Saiful Helmie berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform pertandingan, malah medan penting untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili Malaysia ke kejohanan Asia dan antarabangsa termasuk Deaflympics.
Beliau turut memaklumkan skuad futsal orang pekak Kelantan bertekad mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Menurutnya, Kelantan telah muncul juara sebanyak tiga kali dan naib juara sekali sejak kejohanan itu diperkenalkan.
Berita RTM turut melaporkan bahawa kos penganjuran asal sebanyak RM200,000 berjaya dikurangkan kepada RM100,000 tanpa menjejaskan kualiti kejohanan.
Dalam masa sama, atlet Kelantan kini menjalani latihan secara kendiri akibat kekangan dana dan latihan berpusat hanya akan diadakan apabila kejohanan semakin hampir.
Sementara itu Astro Arena melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan RM50,000 bagi membantu menjayakan kejohanan tersebut.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhammad berkata, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan gelanggang futsal selain memberi komitmen untuk membantu pembangunan sukan warga pekak.
Beliau turut mengingatkan bahawa atlet orang pekak tidak bertanding di SUKMA atau Para SUKMA, sebaliknya melalui temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang menyebabkan peluang mendapatkan pembiayaan lebih terhad.
Katanya, sukan adalah hak semua dan golongan atlet orang pekak juga wajar menerima sokongan yang sewajarnya.
Sumber: Bernama, Berita RTM, Stadium Astro
