Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen Liga Super musim 2026/27 dengan aksi menarik menentang Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 22 Ogos 2026 itu akan bermula pada jam 9 malam dan menjadi penampilan pertama KRW FC selepas disahkan sebagai pendatang baharu Liga Super.
Selepas menerima kunjungan Selangor FC, cabaran lebih besar menanti skuad Kelantan apabila mereka dijadualkan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Rabu, 26 Ogos.
Perlawanan menentang JDT dijadualkan bermula pada jam 8.15 malam.
KRW FC kemudian akan kembali beraksi di laman sendiri pada Sabtu, 29 Ogos untuk menerima kunjungan Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada jam 9 malam.
Liga Malaysia Bermula 21 Ogos
Malaysian Football League (MFL) mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2026/27 akan membuka tirai dengan Perlawanan Sumbangsih antara JDT dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos 2026.
Pertembungan juara bertahan Liga Super dan naib juara musim lalu itu akan menawarkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain turut dikira sebagai perlawanan sulung Liga Super yang menawarkan mata liga.
Saingan Liga Super musim baharu akan berlangsung sehingga 23 Mei 2027 dengan penyertaan 12 kelab.
Pasukan yang mengambil bahagian ialah Johor Darul Ta’zim, Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC dan Kelantan Red Warrior FC.
Piala FA dan Piala Malaysia
Bagi saingan Piala FA, kejohanan itu dijadualkan bermula pada 1 dan 2 September 2026 selepas majlis undian diadakan pada 10 Ogos.
Perlawanan akhir Piala FA dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2027.
Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 pula akan bermula antara 22 hingga 24 Januari 2027, sebelum aksi final dijadualkan pada 30 Mei 2027.
Majlis undian Piala Malaysia dijangka berlangsung pada 31 Disember 2026 dengan penyertaan 12 kelab Liga Super dan empat pasukan Liga A1.
Sumber: Malaysian Football League
