Apabila seseorang meningkat usia, keperluan terhadap sokongan keluarga menjadi semakin penting. Namun, isu warga emas yang terpinggir masih menjadi kebimbangan apabila ada yang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada waris sendiri.
Kini, Kelantan mengambil langkah baharu apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan peruntukan mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa.
Anak, Cucu Hingga Waris Boleh Dipertanggungjawabkan
Peruntukan itu dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025 yang diluluskan pada Persidangan DUN Kelantan pada 12 November lalu.
Melalui peruntukan baharu itu, mahkamah boleh mengarahkan anak atau cucu memberikan nafkah kepada ibu bapa, datuk, nenek dan moyang sekiranya keadaan memerlukan.
Bukan itu sahaja, waris pusaka juga boleh dipertanggungjawabkan menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak.
Menurut Mohd Asri Mat Daud, langkah tersebut bertujuan memperkukuh peranan keluarga dalam menjaga golongan tua.
“Ini adalah langkah menyeluruh untuk memperkukuh peranan anak dan waris terhadap keluarga, khususnya golongan tua yang semakin terpinggir,” katanya.
Lindungi Institusi Keluarga
RUU Keluarga Islam 2025 yang mengandungi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual merangkumi pelbagai aspek berkaitan hukum kekeluargaan Islam.
Ia turut memberi perhatian terhadap perlindungan wanita, kanak-kanak dan warga emas selain menekankan penyelesaian konflik secara adil.
Bagi Mohd Asri, undang-undang itu menjadi usaha awal untuk menyediakan rangka kerja yang lebih jelas dalam memperkukuh institusi keluarga.
Negeri Lain Mungkin Menyusul
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan juga memaklumkan bahawa undang-undang khusus berkaitan nafkah ibu bapa uzur dan tidak berkemampuan sedang dirangka.
Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JKSM akan memasukkan peruntukan lebih jelas mengenai kuasa mahkamah supaya anak-anak dapat dipertanggungjawabkan memenuhi keperluan asas ibu bapa yang memerlukan.
Dengan Kelantan tampil sebagai negeri pertama melaksanakan langkah tersebut, pendekatan sama mungkin akan diperkenalkan di negeri-negeri lain pada masa akan datang.
Sumber: Sinar Harian
