Kelantan kekal sebagai negeri yang merekodkan keluasan tanah rizab Melayu tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan rekod sehingga Jun 2026, tanah rizab Melayu di Kelantan meliputi kawasan seluas 526,083.0796 hektar.
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluasan itu bersamaan 91.58 peratus daripada keseluruhan tanah berhak milik dan membabitkan 816,020 pemilik.
Jumlah keseluruhan tanah berhak milik di Kelantan pula ialah seluas 574,427.6087 hektar, melibatkan 859,275 hak milik.
“Tanah bukan rizab Melayu pula seluas 48,344.5291 hektar bersamaan 8.41 peratus membabitkan 43,255 hak milik. Angka itu adalah jumlah yang diselaraskan bagi kesemua 11 jajahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Gua Musang Catat Keluasan Terbesar
Dari segi keluasan, Gua Musang merekodkan tanah rizab Melayu terbesar di Kelantan dengan 122,735.5417 hektar.
Ia diikuti Pasir Mas seluas 56,656.7894 hektar, Tanah Merah sebanyak 56,246.1290 hektar dan Kuala Krai dengan 53,473.8493 hektar.
Bagaimanapun, berdasarkan peratusan, Tanah Merah mencatatkan kadar tertinggi iaitu 99.9982 peratus.
Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli pula masing-masing merekodkan kadar tanah rizab Melayu melebihi 99 peratus.
Tiada Penyusutan Tanah Rizab Melayu
Mohd Nassuruddin berkata, tidak berlaku penyusutan kawasan rizab Melayu di negeri ini.
Menurutnya, Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan membenarkan pemilikan tanah kepada bukan Melayu dalam kawasan rizab Melayu.
Peruntukan sama turut memberikan kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mengawal segala urus niaga dalam kawasan tersebut.
Kerajaan negeri juga boleh tidak membenarkan sesuatu urus niaga tanah sekiranya didapati menjejaskan kepentingan rizab Melayu.
Sumber: Berita Harian
