Seorang ibu dari Pasir Puteh, Kelantan tidak menyangka perasaan tidak sedap hati yang dialaminya sejak malam sebelumnya akhirnya menjadi kenyataan apabila anak perempuan autistiknya maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah inap desa di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Menurut laporan Bernama, sebaik tiba di sebuah inap desa di tingkat 13 Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu pada malam Jumaat, Nor Azera Ismail sudah berasa tidak tenang apabila melihat tingkap bilik tidur tidak mempunyai jeriji keselamatan.
Lebih merisaukannya, anak perempuan autistiknya yang berusia tujuh tahun cuba membuka tingkap sekitar tengah malam.
Kerana terlalu bimbang, Nor Azera mencari tali untuk memastikan anaknya tidak bangun tanpa disedari.
Namun selepas gagal menemuinya, beliau menggunakan reben bunga telur untuk mengikat tangannya bersama tangan anaknya ketika tidur.
Pagi itu, mereka sebenarnya sudah membuat keputusan untuk berpindah ke penginapan lain yang lebih selamat.
Barang-barang juga sudah dikemas.
Tinggal hanya mahu mengejutkan anak mereka untuk keluar.
Namun sekitar jam 7 pagi, beberapa penghuni datang mengetuk pintu rumah.
Mereka bertanya sama ada kanak-kanak yang terjatuh itu ialah anak Nor Azera.
Ketika menjenguk ke luar tingkap, beliau melihat tubuh anaknya sudah terbaring di kawasan parkir di bawah.
Menurut Sinar Harian, Nor Azera berkata tingkap inap desa tersebut tidak mempunyai jeriji dan juga tidak berkunci. Ketika kejadian, beliau sedang bersiap di ruang tamu sebelum dimaklumkan oleh penghuni lain mengenai insiden itu.
Kosmo! pula melaporkan bahawa Nur Muazzah Aisyah gemar bermain berhampiran tingkap, menyebabkan ibunya sentiasa bimbang terhadap keselamatannya.
Hasrat mereka untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat akhirnya tidak kesampaian.
Sebaliknya, keluarga itu pulang ke Kelantan dengan satu kehilangan yang amat besar.
Sumber: Bernama, Sinar Harian dan Kosmo!
