Sebuah bangsal kayu di Kampung Kubang Bulat, Gunong, Bachok dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.
Menurut laporan Bernama, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 10.45 malam pada 29 Jun lalu oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang berjaya merampas 640,000 batang rokok putih yang disimpan di dalam 64 peti.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan duti dianggarkan RM577,280.
"Pasukan merampas 640,000 batang rokok putih yang disimpan di dalam 64 peti. Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan duti dianggarkan RM577,280.
“Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang.
Disyaki Diseludup Melalui Laluan Laut dan Sungai Kelantan
Mohd Hisham berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran sebelum dibawa masuk ke Kelantan melalui laluan laut dan Sungai Kelantan.
Beliau berkata, bangsal tersebut dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum bekalan rokok diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik bangsal serta individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu.
Sumber: Bernama
