Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan perumahan kosong di Flat Sungai Pari, Buntong, Ipoh pada Jumaat.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian itu disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Kedua-dua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di sekolah yang sama di Ipoh dalam sesi persekolahan sebelah petang.
Ibu kepada salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata dia menghantar anaknya bersama rakannya ke sekolah dari rumah mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.
Bagaimanapun, sekitar 4.50 petang, beliau menerima panggilan memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong tersebut.
"Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama sepertimana saya hantar ke sekolah tadi.
"Saya tidak tahu kenapa anak saya boleh berada di sini. Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pun datang ke tempat begini," katanya.
Tidak Pernah Tunjuk Perubahan Sikap
Menurut Seela, anak keduanya daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu menghadapi masalah di sekolah.
"Anak saya memang pendiam sedikit tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal sekolah dan pelajaran dia dalam keadaan baik.
"Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput, setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat selepas siasatan awal di lokasi selesai dijalankan.
Pernah Jadi Bangunan Ikonik Ipoh
Flat Sungai Pari, yang turut dikenali sebagai "Sungai Pari Tower" atau "Tingkat 15", pernah menjadi antara bangunan tertinggi di utara Semenanjung dan mercu tanda bandar Ipoh dengan reka bentuk bumbung berbentuk mangkuk.
Projek perumahan awam yang dibina pada tahun 1963 itu bagaimanapun dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 susulan kebimbangan terhadap struktur bangunan.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sumber: Sinar Harian
