Kelantan City FC terus memperkukuhkan persiapan menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 apabila mengumumkan dua pemain baharu iaitu bekas pemain kebangsaan, Muhammad Hadin Azman dan penyerang muda berbakat, Abdul Raziq Abdul Rahman.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman Facebook rasmi kelab.
Hadin Bawa Pengalaman Liga Super
Muhammad Hadin Azman, 32, yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan pemain sayap kiri yang turut mampu beraksi di bahagian sayap kanan dan pemain tengah menyerang.
Beliau dikenali dengan kepantasan, kreativiti serta kebolehannya mencipta peluang di bahagian serangan.
Hadin memulakan pembangunan karier bersama CIMB-YFA Bintang Muda sebelum menyertai Harimau Muda B.
Sepanjang karier profesionalnya, beliau pernah mewakili beberapa kelab ternama negara termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT), FELDA United, Kedah Darul Aman, Kuala Lumpur City FC, Penang FC dan Negeri Sembilan FC.
Selain itu, Hadin turut pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia dengan merekodkan sembilan penampilan serta satu jaringan.
Kelantan City FC berharap pengalaman luas dimiliki Hadin mampu memperkukuhkan pasukan sepanjang musim baharu.
Abdul Raziq Perkuat Jentera Serangan
Dalam perkembangan sama, Kelantan City FC turut mengumumkan kehadiran penyerang muda Abdul Raziq Abdul Rahman.
Pemain berusia 22 tahun itu menyertai pasukan selepas menimba pengalaman bersama JDT II.
Abdul Raziq mencipta nama apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Presiden 2024 dengan 14 gol sekali gus membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gol.
Kelab berharap naluri jaringan, pergerakan yang tajam serta semangat juang tinggi dimiliki pemain itu mampu memberi impak positif kepada jentera serangan Kelantan City FC dalam menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
